JOHOR BAHRU – Cadangan memperkenalkan model bayar untuk tontonan (pay-per-view) bagi siaran Liga Bola Sepak Malaysia akan diperhalusi terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, kementeriannya akan mengadakan perbincangan lanjut bersama pihak berkaitan bagi menilai keperluan serta kesesuaian pelaksanaan cadangan tersebut.
“Saya akan mengadakan perbincangan mengenai perkara tersebut dan kita akan lihat perkara tersebut. Kita akan berbincang berkaitan perkara tersebut dan saya akan maklumkan kemudian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan tayangan skrin besar sempena perlawanan akhir The Emirates FA Cup 2026 antara Manchester City dan Chelsea di Dataran Bandaraya Johor Bahru di sini malam tadi.
Sebelum ini, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mencadangkan model pay-per-view diperkenalkan sebagai pendekatan baharu untuk memperkukuh kedudukan kewangan Liga Malaysia selain mengembalikan semula keterujaan bola sepak tempatan kepada penyokong.
Cadangan itu turut dilihat mampu membuka peluang kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menjana sumber pendapatan lebih mampan menerusi platform langganan digital, di samping memberi akses lebih mudah kepada penyokong untuk menyaksikan perlawanan secara langsung.
Mengulas isu lain, beliau berkata, kementeriannya menyerahkan sepenuhnya urusan berkaitan desakan kerakyatan tujuh pemain warisan Harimau Malaya kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Menurut beliau, perkara berkenaan berada di luar bidang kuasa kementeriannya dan akan ditangani pihak bertanggungjawab mengikut prosedur ditetapkan.- MalaysiaGazette















