Foto: FB Razeef Rakimin

KUALA LUMPUR – Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tuaran, Razeef Rakimin menegaskan beliau akan mengikuti jejak langkah Datuk Seri Rafizi Ramli dalam apa jua hala tuju yang akan ditetapkan bekas Timbalan Presiden PKR itu hari ini.

Razeef yang juga bekas Ketua Penerangan PKR Sabah berkata, beliau tidak akan berundur walau selangkah dan bersedia untuk hilang kedudukan asalkan tetap berpegang kepada prinsip.

Tedahulu, Razeef berkata, beliau mempunyai sejarah panjang dengan Rafizi kerana berada bersama-sama dalam pasukan Ahli Parlimen Pandan berkenaan dalam Pemilihan PKR pada tahun 2018; 2022 dan 2025.

Malah, ujarnya, beliau turut menjelajah ke seluruh Semenanjung bersama pasukan Rafizi ketika kempen Ayuh Malaysia pada pilihan raya umum (PRU) 2022.

“Saya setia bersama beliau bukan kerana sosok Rafizi tetapi idealisma dan prinsip yang dibawa.

“Beliau konsisten dengan prinsip yang diperjuangkan dan saya suka kempen yang realistik berpandukan data,” katanya menerusi Facebook malam tadi.

Menurut Razeef, beliau melihat pelaksanaan idea Rafizi yang membantu Pakatan Harapan (PH) menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada 2018 dan berjaya mengangkat Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri pada 2022.

Namun, katanya, satu ‘idea’ itu yang dulu mengangkat ramai pimpinan parti di kerusi empuk pemerintahan kini menganggap ‘idea’ tersebut sebagai ancaman.

“Lagi 26 hari sahaja lagi maka genaplah 20 tahun perjuangan saya bersama Keadilan…20 tahun menabur keringat, airmata dan darah…Dua penggal sebagai Ketua Cabang Tuaran.

“Namun jika Jebat sanggup ditikam Tuah yang dipertahankannya dulu kerana menentang kezaliman, maka saya lebih rela bersama Jebat demi prinsip dan keadilan,” katanya.

Hari ini, Rafizi bersama bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad dijadual mengadakan sidang akhbar bagi mengumumkan hala tuju politik mereka pada masa depan.

Sebelum ini, Rafizi memberi bayangan sebarang keputusan sama ada untuk menyertai mahupun menubuhkan parti baharu akan diumumkan selewat-lewatnya Jun ini.

Beliau berkata, sebarang keputusan politik yang bakal diambil akan memberi kesan kepada rakan-rakan politik baik di peringkat Parlimen mahupun cabang dalam PKR.

Terdahulu, Rafizi dan Nik Nazmi yang juga bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) mengumumkan peletakan jawatan masing-masing dalam kerajaan berkuat kuasa 17 Jun dan 4 Julai tahun lalu, selepas mereka tewas pada pemilihan PKR 2025.

Rafizi gagal mempertahankan jawatannya sebagai Timbalan Presiden PKR selepas tewas kepada Nurul Izzah Anwar, manakala Nik Nazmi kalah dalam perebutan jawatan Naib Presiden. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast