Dewan Undangan Negeri Johor

JOHOR BAHRU – Satu sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) khas akan diadakan pada 24 Jun ini dijangka mengumumkan pembubaran DUN bagi memberi laluan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Permintaan supaya semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bersiap sedia untuk sidang DUN khas tersebut sudah mula disebarkan kepada mereka menerusi aplikasi Whatsapp.

Perkembangan itu susulan Menteri Besar Johor merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi semalam yang mengumumkan BN akan bertanding di semua 56 kerusi DUN di negeri itu pada kali ini.

Pengumuman tersebut mencetuskan polimik baharu dan pada masa sama mengakibatkan suhu politik Johor semakin panas dengan desas-desus PRN Johor.

Sementara itu, ADUN Pemanis, Anuar Abd Manap ketika dihubungi berkata, pihaknya bersiap sedia untuk menghadiri sidang DUN khas tersebut.

“Jika ada arahan rasmi untuk kami hadir bersidang, maka saya akan hadir dan bersiap sedia. Setakat ni belum ada surat rasmi daripada pejabat jurutulis berkenaan sidang khas DUN ini.

“Biasanya kami akan menerima makluman secara bertulis dari pejabat mereka berkenaan perkara ni.

“Selagi belum ada kenyataan rasmi daripada pejabat jurutulis saya tak boleh nafi mahupun mengiyakan akan berlaku sidang khas DUN ini pada bulan Jun nanti,” ujarnya mengulas mengenai sidang DUN khas tersebut.

Semalam Onn Hafiz mengumumkan BN Johor akan bertanding di semua 56 kerusi DUN dalam PRN Johor akan datang selepas mengambil maklum suara dan harapan kepimpinan akar umbi BN dan juga UMNO Johor.

“Selepas berbincang dengan pucuk pimpinan parti, saya dengan rasa penuh insaf dan tanggungjawab menyatakan bahawa BN Johor akan bertanding di semua 56 kerusi DUN pada PRN akan datang,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast