Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Dr Afif Bahardin berucap pada Program Rapat Rakyat Selangor anjuran Bersatu Shah Alam di Pangsapuri Cempaka, Seksyen 18, Shah Alam. Foto SADIQ SANI, 16 MEI 2026.

SHAH ALAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Dr Afif Bahardin mendakwa ketidakharmonian yang berlaku di Selangor ketika ini bukan berpunca daripada pihak pembangkang, sebaliknya dicetuskan oleh wakil dalam kerajaan negeri sendiri.

Beliau mempersoalkan kenyataan ADUN Seri Kembangan, Wong Sie Ki yang menyentuh soal `kesamarataan’ sehingga menimbulkan persepsi bahawa titah Sultan Selangor berkaitan larangan penternakan babi boleh dipersoalkan.

“Apakah Seri Kembangan nak menggambarkan bahawa Tuanku Sultan Selangor tidak faham Perlembagaan dan tidak berlaku adil kepada rakyat Selangor?” katanya ketika berucap pada Ceramah Rapat Rakyat Selangor, di sini, malam tadi.

Naib Presiden Bersatu Malaysia, Datuk Dr Radzi Jidin hadir pada Program Rapat Rakyat Selangor anjuran Bersatu Shah Alam di Pangsapuri Cempaka, Seksyen 18, Shah Alam. Foto SADIQ SANI, 16 MEI 2026.

Dr Afif juga berang dengan Speaker Dewan Negeri Selangor, Lau Weng San kerana didakwa menggunakan kedudukannya untuk memanipulasi undang-undang sedia ada.

“Dia ni tak layak jadi Speaker, bukan tukar, suruh dia letak jawatan dulu, berambus daripada Dewan Negeri Selangor. Dia salah guna kedudukan tolak usul yang cukup penting untuk kita bahaskan dalam Dewan Negeri Selangor.

“Tuanku cerita soal penternakan babi, Seri Kembangan sentuh soal penternakan babi, saya buat usul tentang isu penternakan babi yang disebut oleh Seri Kembangan dan juga oleh Titah Tuanku Sultan Selangor,” tegasnya.

Beliau juga kesal dengan Speaker Dewan Negeri Selangor kerana didakwa seolah-olah tidak memahami tindakan wakil rakyat DAP itu bertentangan dengan titah Sultan Selangor berkaitan penternakan babi.

“Jelas tak jelas? Tapi Speaker ini tak faham, dia kata benda ini tak jelas. Rakyat dekat luar cukup marah dengan kenyataan Seri Kembangan.

“Takkanlah tak boleh nampak media sosial cakap apa, kenyataan media keluar apa, berapa banyak laporan polis yang dibuat.

“Tapi Speaker DAP ini dia buat-buat macam tak faham,” katanya.

Dakwa beliau lagi, Speaker Dewan Negeri Selangor itu bertindak sedemikian susulan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mengarahkan seluruh kepimpinan dan jenteranya untuk mempertahankan Siew Ki.

“Bila saya siasat rupa-rupanya Setiausaha Agung dia sudah keluar kenyataan dalam ucapan di majlis makan malam di Kinrara.

“Anthony Loke sebut dalam Bahasa Mandarin, saya ini tak pandai Bahasa Mandarin tapi saya boleh baca alih bahasa, Anthony Loke sebut, kita DAP Malaysia akan pertahankan hak ADUN kita bercakap,” dakwanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast