Logo NGO Mandiri

KUALA LUMPUR – Sekumpulan bekas pimpinan Bersih 2.0 menyifatkan desakan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) supaya sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) disiasat sebagai tindakan yang boleh mencalarkan imej Malaysia sebagai negara demokrasi yang menghormati kebebasan bersuara dan perbezaan pendapat.

Menurut mereka, pendirian tersebut juga bertentangan dengan prinsip perjuangan reformasi yang menjadi asas penubuhan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sendiri.

Dalam kenyataan bersama, mereka turut menegaskan, gerakan Reformasi pada 1997 dan 1998 bermula melalui penubuhan NGO dikenali sebagai Adil sebelum lahirnya PKR sebagai wadah politik menentang penindasan dan memperjuangkan keadilan.

Mereka turut menolak alasan bahawa tiada pihak boleh mempersoalkan perkembangan negara ketika tempoh krisis kerana Malaysia juga pernah berdepan Krisis Kewangan Asia pada 1998 ketika gerakan reformasi tercetus.

“Pendirian Ketua AMK tidak mencerminkan budaya dan prinsip Madani yang mengiktiraf peranan masyarakat sivil dalam membina komuniti berilmu dan bertamadun,” menurut kenyataan itu.

Tambah mereka, ramai pimpinan PKR yang kini memegang jawatan menteri dan timbalan menteri pernah terlibat secara aktif dalam NGO, justeru memahami bahawa organisasi masyarakat sivil lazimnya bergantung kepada geran dalam dan luar negara untuk menjalankan penyelidikan serta program.

Mereka turut menyifatkan, desakan supaya NGO yang menerima geran asing digempur agensi penguat kuasa sebagai taktik lama yang pernah digunakan UMNO terhadap Bersih 2.0 suatu ketika dahulu.

Malah, mereka mendakwa UMNO pernah menggunakan Akta SOSMA atas alasan keselamatan negara kerana takut terhadap pengaruh NGO.

Sehubungan itu, AMK disaran mencontohi pendekatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggunakan hujah dan penjelasan dalam menangani isu negara, bukannya menyalahgunakan kuasa terhadap masyarakat sivil.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Datuk Ambiga Sreenevasan Maria Chin Abdullah; Mandeep Singh dan Jay Jay Denis.

Terdahulu, Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Mandiri dalam kenyataannya hari ini menafikan dakwaan Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim bahawa dana diterima organisasi itu digunakan bagi tujuan politik, operasi tentera siber, provokasi jalanan dan pembinaan naratif kebencian terhadap kerajaan.

Pengarah Eksekutifnya, Amir Hadi berkata, tuduhan tersebut merupakan tindakan terdesak untuk mengalih perhatian daripada isu-isu semasa yang sedang melanda politik negara.

Menurut beliau, Mandiri menegaskan bahawa organisasi itu tidak melakukan sebarang salah laku dan bersedia memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sekiranya disiasat. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan:-

Mandiri nafi terima dana politik, sedia disiasat isu geran NGO

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast