Amir Hadi

KUALA LUMPUR – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Mandiri menafikan dakwaan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Muhammad Kamil Abdul Munim bahawa dana diterima organisasi itu digunakan bagi tujuan politik, operasi tentera siber, provokasi jalanan dan pembinaan naratif kebencian terhadap kerajaan.

Pengarah Eksekutif Mandiri, Amir Hadi berkata, tuduhan tersebut merupakan tindakan terdesak untuk mengalih perhatian daripada isu-isu semasa yang sedang melanda politik negara.

Menurut beliau, Mandiri menegaskan bahawa organisasi itu tidak melakukan sebarang salah laku dan bersedia memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sekiranya disiasat.

“Malah, sejak hari pertama penubuhan Mandiri sebagai organisasi masyarakat sivil, kami telah menjangkakan perkara sebegini akan berlaku dan telah bersedia dengan segala kemungkinan termasuk penahanan. Tidak ada apa yang ingin kami sembunyikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut mendakwa, Muhammad Kamil tidak memahami operasi organisasi masyarakat sivil kerana tidak pernah terlibat secara langsung dalam gerakan NGO, termasuk soal permohonan geran yang menurutnya lazim dibuat bagi menampung kos operasi.

Katanya, tuduhan melabel NGO sebagai “ejen asing” juga bukan perkara baharu kerana taktik tersebut pernah digunakan ketika pihak tertentu berada di blok pembangkang bagi mendiamkan suara rakyat.

“Beliau sepatutnya bertanya kepada rakan-rakan dalam kerajaan hari ini yang sebelum ini aktif dalam organisasi masyarakat sivil, melainkan memang mempunyai niat jahat sejak awal,” katanya.

Dalam pada itu, Amir menjelaskan, Mandiri memberi fokus kepada program pemerkasaan anak muda menerusi kelas, forum, diskusi umum dan perbincangan berkaitan isu belia berasaskan lima teras utama iaitu keadilan sosial, hak asasi, ketelusan pentadbiran kerajaan, keadilan ekonomi dan kelestarian alam sekitar.

Beliau menegaskan, Mandiri bukan sebuah parti politik dan tidak terlibat dalam perebutan kuasa atau usaha menjatuhkan mana-mana kerajaan.

Menurutnya lagi, pihaknya menjangkakan kemungkinan pejabat organisasi itu akan digeledah atau ahlinya dipanggil untuk siasatan dalam masa terdekat susulan isu berkenaan.

“Selepas semuanya selesai, kami akan berbincang dengan peguam untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap segala fitnah dan tohmahan yang dilemparkan,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast