KUALA LUMPUR – Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tuaran, Razeef Rakimin mengumumkan peletakan kesemua jawatannya dalam parti itu hari ini.
Serentak itu, beliau yang juga bekas Ketua Penerangan PKR Sabah mengiystiharkan keluar daripada parti tersebut berkuat kuasa serta-merta.
Menurutnya, permohonan pembatalan sebagai ahli PKR itu sudah dibuat menerusi aplikasi Adil.
“Saya tiada cerita sedih atau mengungkit sejarah 20 tahun perjuangan bersama PKR..Juga tidak ingin menghentam PKR serta rakan-rakan yang masih kekal di sana.
“Terima kasih atas sokongan, dokongan dan tunjuk ajar sepanjang 20 tahun perjalanan ini…Semoga ukhuwah kita kekal terjalin di samping perbezaan ideologi…,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Pada pemilihan PKR tahun lalu, Razeef memenangi jawatan Ketua Cabang Tuaran dalam persaingan tiga penjuru.
Beliau memperoleh sebanyak 352 undi berbanding dua pencabarnya iaitu Abdul Ali Madtair dan Hampry Luaran yang masing-masing mendapat 243 dan 170 undi.
Sebelum ini, Razeef secara terbuka menegaskan, beliau akan mengikuti apa jua jejak langkah yang akan diumumkan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Menurutnya, beliau tidak akan berundur walau selangkah dan bersedia untuk hilang kedudukan asalkan tetap berpegang kepada prinsip.
Tedahulu, Razeef berkata, beliau mempunyai sejarah panjang dengan Rafizi kerana berada bersama-sama dalam pasukan Ahli Parlimen Pandan berkenaan dalam Pemilihan PKR pada tahun 2018; 2022 dan 2025.
Semalam, Rafizi dan bersama-sama bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahamd mengumumkan mengosongkan kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa, sekali gus keluar daripada PKR.
Serentak itu, mereka turut mengumumkan penyertaan ke dalam Parti Bersama Malaysia berkuat kuasa esok. – MalaysiaGazette
















