PUTRAJAYA – Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (Sekpur) hari ini menyerahkan memorandum kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berhubung penularan fitnah serta naratif melampau di media sosial.
Pengerusinya, Mustapa Mansor berkata, ia susulan peningkatan budaya penghinaan agama, manipulasi fakta sejarah Islam dan penyebaran naratif kebencian.
“Budaya negatif itu yang menyentuh kesucian Islam didakwa melibatkan sebahagian pemimpin politik pembangkang, cybertrooper serta individu tertentu di platform media sosial.
“Tindakan tersebut bukan sahaja mengelirukan masyarakat, malah berpotensi menggugat keharmonian negara serta mencemarkan institusi ulama dan para sahabat Nabi Muhammad SAW,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Terdahulu beliau bersama beberapa pimpinan badan bukan kerajaan (NGO) itu menyerahkan Memorandum Peringatan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan yang diwakili pegawainya di lobi Kompleks Islam, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Biro Politik Sekretariat Sekpur, Shahbudin Embon dan Setiausaha Agong Sekpur, Mejar (B) Razali Zakaria.
Mustapa juga menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam penyebaran fitnah, hasutan dan kebencian agama menerusi peruntukan undang-undang sedia ada.
“Antara yang dicadangkan termasuk penggunaan prinsip 3R (Race, Religion and Royalty) di bawah Akta Hasutan, tindakan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta undang-undang berkaitan keselamatan dan keharmonian awam,” katanya.
Selain itu, katanya, memorandum tersebut turut menuntut supaya kandungan berunsur fitnah, penghinaan agama dan tuduhan palsu di media sosial dipadam serta-merta.
“Kerajaan perlu memantau secara berterusan media sosial terhadap kandungan tersebut yang menyentuh kesucian Islam,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, Sekpur mencadangkan pendekatan tarbiyah dan pemulihan terhadap individu yang didapati bersalah, termasuk proses pemulihan akidah dan pendidikan masyarakat sehingga benar-benar berubah.
“Pendekatan berkenaan pernah digunakan dalam kes melibatkan bekas anggota kumpulan Al-Arqam dan disifatkan berjaya membantu proses pemulihan pemikiran ekstrem,” katanya.
Dalam pada itu, NGO itu meminta naratif fitnah dan kekeliruan agama dipatahkan secara terbuka menerusi siaran khas media utama, forum ilmiah nasional serta sesi debat dan penjelasan fakta oleh pakar agama, sejarah dan perundangan.
“Malah, individu yang didakwa terlibat dalam penyebaran fitnah juga dicadangkan supaya dipanggil secara terbuka bagi memberikan penjelasan kepada rakyat demi mengelakkan kekeliruan berterusan,” katanya.
Katanya lagi, Sekpur menegaskan komitmen untuk terus bekerjasama dengan kerajaan dalam memantau kegiatan fitnah media sosial, menyampaikan maklumat benar kepada masyarakat serta membantu usaha pemulihan dan pendidikan rakyat.
“Kerjasama erat antara kerajaan, NGO dan rakyat amat penting dalam mempertahankan keharmonian negara serta memelihara kesucian agama Islam,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















