PUTRAJAYA – Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (Sekpur) menggesa semua parti Kerajaan Perpaduan supaya mengelakkan pertembungan sesama sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
Pengerusi Biro Politiknya, Shahbudin Embun berkata, tindakan beberapa pihak yang mahu bertanding secara solo boleh mencetuskan persepsi wujudnya pergeseran dalam kerajaan Madani.
“Walaupun kenyataan itu mungkin sebahagian daripada strategi rundingan politik, ia perlu dikawal supaya tidak menimbulkan salah faham dalam kalangan rakyat.
“Jika parti-parti dalam kerajaan dilihat tidak sehaluan, rakyat akan mula mempersoalkan kestabilan Kerajaan Perpaduan selain membuka ruang kepada pihak lawan untuk mengambil kesempatan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Terdahulu badan bukan kerajaan (NGO) Sekpur menyerahkan Memorandum Peringatan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berhubung penularan fitnah serta naratif melampau di media sosial di lobi Kompleks Islam, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, katanya, Johor merupakan negeri strategik yang menjadi cerminan kekuatan politik nasional dan tidak sepatutnya dijadikan medan konflik sesama parti dalam kerajaan.
“Sehubungan itu, SEKPUR menggesa rundingan pembahagian kerusi dipercepatkan secara tertutup dan berhemah bagi memastikan prinsip ‘satu kerusi, satu calon’ dapat dilaksanakan,” katanya.
Selain itu, katanya, pemilihan calon juga disaran dibuat berdasarkan faktor kebolehmenangan dan realiti semasa di lapangan, bukannya sentimen politik atau ego parti.
“Sekpur meminta semua pimpinan parti lebih berdisiplin dalam mengeluarkan kenyataan terbuka bagi mengelakkan salah tafsir rakyat terhadap hubungan antara parti komponen kerajaan.
“Sekpur yakin Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu memainkan peranan sebagai pengimbang antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan demi memastikan kesepaduan kerajaan terus kukuh,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















