KUALA LUMPUR – Tindakan Khairy Jamaluddin mempertahankan gaya politik Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh membuktikan UMNO masih bergantung kepada politik ekstrem dan permainan sentimen kaum.
Menurut Penasihat DAP, Lim Guan Eng, kenyataan Khairy yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO bahawa pendekatan Dr Muhamad Akmal masih diperlukan dalam parti itu bagi menghadapi ancaman politik Perikatan Nasional (PN) amat mengecewakan dan tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menghalalkan budaya politik kontroversi.
Katanya, jika PN dikritik kerana memainkan retorik melampau demi meraih sokongan orang Melayu, maka UMNO juga tidak wajar menggunakan pendekatan sama semata-mata untuk kepentingan politik.
“Dua kesalahan tidak akan menjadikan sesuatu itu betul.
”Jika PN salah kerana menggunakan pendekatan ekstrem dan kontroversi untuk mengukuhkan sokongan politik Melayu, maka UMNO juga tidak sepatutnya mengikut cara sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Guan Eng berkata, Khairy sebelum ini sering membawa imej sebagai pemimpin lebih sederhana dan progresif dengan menampilkan dasar yang dikatakan adil kepada semua rakyat Malaysia.
Bagaimanapun menurutnya, tindakan mempertahankan Akmal menunjukkan bekas Menteri Kesihatan itu kini berubah pendirian demi menyesuaikan diri dengan hala tuju politik UMNO semasa.
“Ini sangat berbeza dengan Khairy yang pernah dipecat UMNO sebelum kembali semula ke dalam parti itu.
“Ketika itu beliau membawa pendekatan politik bukan perkauman dan sering bercakap mengenai dasar progresif yang kononnya memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia,” tegasnya lagi.

Ahli Parlimen Bagan itu turut mendakwa cubaan Khairy mempertahankan tindakan Dr Muhamad Akmal hanya menguatkan persepsi bahawa UMNO sekadar mahu mengekalkan pengaruh politik melalui permainan sentimen.
Dalam pada itu, Guan Eng turut membidas tindakan UMNO yang didakwanya semakin agresif mengejar kuasa politik walaupun berada dalam Kerajaan Perpaduan.
Beliau merujuk kepada perkembangan politik di Negeri Sembilan yang didakwa cuba menggugat pentadbiran kerajaan negeri selain pengumuman UMNO dan Barisan Nasional (BN) mahu bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Menurutnya, tindakan itu jelas menunjukkan UMNO sanggup mengenepikan semangat kerjasama politik demi kepentingan sendiri.
“Bagi mereka yang masih menaruh harapan kepada Khairy, kini jelas bahawa beliau dan UMNO membuktikan hakikat seekor harimau bintang tidak boleh menukar coraknya,” katanya. -MalaysiaGazette
















