Pravin Murali

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyokong penuh Ketuanya, Muhammad Kamil Abdul Munim berhubung dakwaan Mandiri menerima dana asing RM1.5 juta daripada sebuah pertubuhan haluan kiri di Amerika Syarikat (AS).

Naib Ketuanya, Pravin Murali menegaskan, tindakan menuntut penjelasan bukan serangan; bertanya bukan satu ugutan dan mengangkat persoalan demi kepentingan awam bukan bermaksud menafikan demokrasi.

Katanya, kebebasan bersuara juga harus berjalan seiring dengan prinsip kebertanggungjawaban.

“AMK tidak pernah menolak peranan masyarakat umum dalam sebuah negara demokrasi. Malah, masyarakat mempunyai tempat yang penting dalam memperkukuh semak imbang, kebebasan bersuara dalam pembangunan negara.

“Apabila wujud persoalan yang menyentuh kepentingan rakyat, ketelusan dana, kedaulatan negara dan kestabilan demokrasi, maka adalah wajar untuk perkara tersebut dijawab dan diperjelaskan secara terbuka kepada rakyat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Muhammad Kamil baru-baru ini mendakwa terdapat laporan antara November 2024 hingga Jun 2025 bahawa Mandiri menerima dana dari AS melalui tujuh transaksi kepada Ketua Eksekutif Mandiri, Amir Hariri Abdul Hadi dan beberapa individu lain.

Muhammad Kamil yang juga setiausaha politik Menteri Kewangan mendakwa dana itu mempunyai kaitan dengan gerakan politik, termasuk pembiayaan operasi media sosial serta protes jalanan bagi mewujudkan persepsi serta naratif kebencian terhadap kerajaan dan menggugat kestabilan politik.

Susulan itu, semalam dilaporkan, Amir Hariri menyerahkan surat tuntutan guaman (LOD) kepada Muhammad Kamil.

Mengulas lanjut Pravin yakin, Muahammad Kamil mengambil pendirian atas dasar tanggungjawab politik dan kepentingan rakyat bukan atas niat untuk menyerang mana-mana pihak secara tidak adil.

Sehubungan itu, katanya, AMK menghormati proses mahkamah sekiranya ia platform untuk menyelesaikan dakwaan berkenaan.

“Sebagai Naib Ketua AMK Malaysia, saya menzahirkan sokongan penuh terhadap Kamil Munim dalam mempertahankan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan hak untuk menuntut penjelasan terhadap sebarang perkara yang menyentuh kepentingan awam,” tambahnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast