Muhammad Zakwan.

GEORGE TOWN – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang menegaskan kenyataan Ketua AMK Malaysia, Kamil Munim berhubung isu pembiayaan asing tidak sepatutnya disalah tafsir sebagai serangan terhadap NGO atau masyarakat sivil.

Ketua AMK Pulau Pinang, Muhammad Zakwan Mustafa Kamal berkata, Kamil hanya membangkitkan kebimbangan terhadap dana asing tertentu yang dipercayai digunakan untuk propaganda politik, operasi tentera siber dan provokasi jalanan sehingga berpotensi menggugat kestabilan negara.

Menurutnya, kenyataan Kamil sebelum ini tidak ditujukan kepada bantuan antarabangsa yang bersifat terbuka dan sah di sisi undang-undang seperti program pendidikan demokrasi, pembangunan institusi serta advokasi hak asasi manusia.

“Beliau tidak pernah menyeru tindakan diambil secara sewenang-wenangnya terhadap NGO atau pertubuhan masyarakat sivil.

“Sebaliknya, beliau hanya menegaskan siasatan wajar dijalankan sekiranya terdapat elemen yang boleh menimbulkan risiko terhadap keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Muhammad Zakwan berkata, pendekatan itu selari dengan amalan beberapa negara lain yang mempunyai mekanisme pemantauan terhadap pembiayaan asing bagi memastikan ketelusan dan mengelakkan campur tangan luar dalam urusan domestik.

Katanya, isu pembiayaan asing dan keselamatan negara perlu dibincangkan secara matang serta tidak dipolitikkan sehingga disalah tafsir sebagai serangan terhadap kebebasan NGO atau masyarakat sivil.

“Sehubungan itu, kita meminta Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Bank Negara Malaysia menjalankan siasatan bebas dan telus terhadap dakwaan yang sedang berlegar ketika ini.

“Kita juga berharap tiada pihak tertentu cuba menggugat kestabilan politik, keselamatan dan keharmonian negara demi kepentingan sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast