KUALA LUMPUR – DAP diingatkan tidak terus memainkan isu melibatkan institusi Raja-Raja Melayu yang boleh mencetus ketegangan dan mengguris sensitiviti rakyat, khususnya orang Melayu.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Fariz Hazurin Ismail berkata, kenyataan bekas Ahli Parlimen DAP, Tony Pua yang mendakwa kuasa Raja-Raja Melayu terhad dilihat sebagai cubaan mencabar kedudukan institusi berkenaan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, kenyataan itu bukan sahaja tidak sensitif, malah berpotensi membangkitkan kemarahan rakyat serta mengeruhkan keharmonian kaum di negara ini.
“Institusi Raja-Raja Melayu bukan sekadar simbol, tetapi merupakan tonggak utama negara yang perlu dihormati semua pihak tanpa mengira fahaman politik.
“Politik seperti ini bukan lagi keterbukaan demokrasi, sebaliknya politik provokasi yang sengaja mahu mencetuskan polemik demi kepentingan agenda politik sempit.
“Institusi Raja-Raja Melayu bukan bahan eksperimen politik mana-mana parti.
“Ia adalah lambang kedaulatan negara, pelindung agama Islam serta tonggak keseimbangan dalam sistem Raja Berperlembagaan,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Terdahulu, Tony Pua menerusi hantaran terbaharu di akaun Facebooknya mendakwa, kuasa raja adalah terhad kepada aspek-aspek tertentu seperti adat Melayu, Islam dan peranan Perlembagaan seperti pelantikan Menteri Besar serta perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri.
Tony Pua mengatakan, rakyat tidak hidup dalam sistem di mana raja boleh mengeluarkan titah yang mengikat dan menggubal semua aspek kehidupan rakyat.
Fariz Hazurin yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Subang turut mengingatkan DAP agar lebih berhati-hati dalam mengeluarkan pandangan yang menyentuh agama, bangsa dan institusi diraja supaya tidak dilihat cuba menguji kesabaran rakyat.
“Rakyat kini semakin peka terhadap sebarang kenyataan yang dianggap mencabar asas-asas utama negara termasuk kedudukan Islam, Melayu dan institusi Raja-Raja Melayu.
“Jangan bermain api dalam isu yang menyentuh sensitiviti rakyat. Keharmonian negara perlu dipelihara dan semua pihak wajib menghormati semangat Perlembagaan,” katanya.
Dalam masa sama, Fariz Hazurin mendesak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki supaya segera tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Sultan Selangor serta seluruh rakyat Malaysia.
“Jangan hanya pandai bercakap soal demokrasi dan
kebebasan bersuara apabila mahu mencetuskan kontroversi, tetapi gagal menunjukkan rasa hormat
apabila menyentuh institusi yang menjadi lambang kedaulatan negara.
“Jika benar ada rasa tanggungjawab dan hormat terhadap Sultan Selangor, maka tampil secara terbuka dan mohon maaf kepada rakyat tanpa berselindung di sebalik alasan politik,” tegasnya.
Selain itu, kata Fariz Hazurin, kebiadaban Siew Ki menyerlahkan politik DAP hari ini yang terlalu ghairah bermain persepsi dan provokasi sehingga gagal memahami batas adab terhadap institusi diraja.
“DAP gemar bercakap soal keharmonian dan perpaduan, tetapi dalam masa sama sering menjadi pihak yang mencetuskan ketegangan melalui kenyataan-kenyataan yang menyentuh sensitiviti rakyat,” katanya.
Katanya lagi, Malaysia tidak memerlukan politik yang bongkak dan suka mencabar asas negara demi meraih tepukan kelompok tertentu.
“Negara ini memerlukan kepimpinan yang matang, menghormati Perlembagaan dan memahami bahawa kestabilan negara tidak boleh dipermainkan hanya kerana mahu mencipta populariti politik sementara.
“Rakyat kini semakin bijak menilai siapa yang benar-benar mempertahankan keharmonian negara dan siapa yang hanya mahu mengheret negara ke dalam politik konflik yang tidak berkesudahan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















