KUALA LUMPUR – Langkah penyelarasan perbelanjaan mengurus berasaskan keutamaan yang dilaksanakan kerajaan kini mula menunjukkan hasil positif apabila hampir 50 peratus daripada sasaran yang ditetapkan berjaya dicapai.
Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pelaksanaan langkah tersebut dilakukan tanpa menjejaskan penyampaian perkhidmatan awam serta program-program kementerian.
Menurut beliau, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
“Perdana Menteri memaklumkan bahawa langkah-langkah penyelarasan keutamaan perbelanjaan mengurus bagi setiap kementerian yang berdasarkan keutamaan telah mula menunjukkan hasil yang positif tanpa menjejaskan penyampaian perkhidmatan serta pelaksanaan program-program kementerian,” katanya pada sidang media mingguan, hari ini.
Fahmi berkata, kerajaan bagaimanapun tetap memberi keutamaan kepada pengukuhan sektor perkhidmatan barisan hadapan atau frontliners demi memastikan kebajikan rakyat tidak terabai.
Pada April lalu, Kementerian Kewangan mengesahkan bahawa panduan telah dikeluarkan kepada Kementerian dan agensi untuk menyusun semula keutamaan perbelanjaan mengurus, selaras dengan cabaran krisis bekalan global dan tanggungan subsidi yang meningkat.
Langkah itu merupakan sebahagian daripada pendekatan pengurusan fiskal yang berhemat bagi mengoptimakan sumber kerajaan supaya dapat mengekalkan sokongan kepada rakyat secara berterusan. – MalaysiaGazette
















