KUALA LUMPUR – Krisis geopolitik di Asia Barat yang membabitkan Iran, Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya mula menghantar gelombang kejutan kepada ekonomi domestik.
Sehubungan itu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar hari ini mengumumkan satu pelan intervensi khusus iaitu Pelan Tindakan Rangsangan Ekonomi Negeri Terengganu Fasa 1 bagi mempertahankan kelangsungan sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta menyokong sektor pengeluaran padi negeri.
Menurutnya, pelan itu dilaksanakan selepas menyedari impak besar rantaian krisis khususnya lonjakan kos bahan api, logistik dan insurans yang memaksa pengeluar serta peniaga menaikkan harga barang.
“Kesan ekonomi dijangka menjadi lebih ketara dalam tempoh beberapa bulan akan datang apabila kenaikan kos terus menekan rantaian bekalan dan harga pasaran.
“Oleh itu, langkah proaktif perlu diambil segera demi mengukuhkan pertumbuhan ekonomi negeri.
“Kerajaan Negeri bersetuju melaksanakan pelan rangsangan ini dengan memfokuskan kepada beberapa inisiatif utama, termasuk penilaian semula Jadual Kadar Harga (JKH) bagi bahan binaan terpilih dan penyelarasan kos kontrak bagi mengambil kira perubahan kos semasa,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, tumpuan akan diberikan kepada pelaksanaan projek-projek kecil yang berimpak tinggi (high impact) dan mudah dilaksanakan (low-hanging fruit).
“Buat golongan usahawan, kerajaan negeri mengumumkan pemberian moratorium selama tujuh bulan bermula Jun hingga Disember 2026 kepada peminjam di bawah Skim Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS).
“Inisiatif ini dijangka memberi manfaat kepada 783 peminjam dengan nilai pinjaman tidak dikutip berjumlah RM2.1 juta, malah saiz dana TUGAS turut ditambah sebanyak RM2 juta lagi pada tahun ini untuk membantu lebih ramai usahawan,” katanya.
Jelas beliau, selain sektor industri kecil, sektor pertanian turut menerima suntikan yang signifikan menerusi dua pendekatan iaitu Skim Bantuan Modal Tani (SBMT) dan insentif pesawah.
“Untuk SBMT, pemberian moratorium bermula Mei 2026 hingga April 2027 membabitkan implikasi kewangan RM2.9 juta yang memberi kelegaan kepada kira-kira 400 peminjam.
“Manakala bagi pesawah pula, suntikan tunai sebanyak RM100 bagi setiap tan metrik padi yang dikeluarkan.
“Bagi pengeluaran melebihi 10 tan metrik, insentif maksimum RM1,000 akan diberikan.
“Langkah ini memanfaatkan 4,513 pesawah dengan peruntukan keseluruhan RM3 juta,” ujarnya.
Tambah Ahmad Samsuri, memandangkan landskap ekonomi global yang semakin mencabar, Belanjawan Terengganu 2026 akan dinilai dan akan diselaras semula.
“Langkah itu bagi memastikan strategi yang diatur pasca krisis ini adalah lebih bersasar ke arah pengukuhan ekonomi negeri secara menyeluruh.
“Diharapkan inisiatif ini dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh pemain-pemain dalam sektor yang terlibat.
“Kerajaan Negeri akan terus berusaha untuk memastikan keseluruhan rakyat terus dibantu dan keadaan ekonomi kembali pulih kelak,” katanya lagi. -MalaysiaGazette
















