KUALA LUMPUR – Bekas Senior Eksekutif Proton Global Services Sdn Bhd mengaku tidak bersalah terhadap 14 tuduhan menerima rasuah berjumlah RM57,209 sebagai upah meluluskan dokumen Accessories Parts Approval Documents (APADs).
Berdasarkan pertuduhan di Mahkamah Sesyen hari ini, Fizal Rezan Abdul Hamid, 50, didakwa menerima rasuah menerusi 14 transaksi berasingan daripada Zamara Resources berhubung pembekalan safety triangle kepada Proton Global Services Sdn. Bhd. antara Januari 2023 hingga Januari 2024.
Lelaki yang tidak diwakili peguam bela itu dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
Hakim, Awang Kerisnada Awang Mahmud kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM15,000.
Dalam masa yang sama, lelaki itu turut diperintah melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan.
Selain itu, tertuduh perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Sementara itu, tarikh sebutan kes ditetapkan pada 21 Julai ini.
Terdahulu, kes berkenaan dikendali oleh Muaz Ahmad Khairuddin. – MalaysiaGazette
















