PASIR GUDANG – Perbuatan menghina Yang di-Pertuan Agong tidak boleh dipandang ringan kerana boleh menggugat keharmonian masyarakat serta menghakis rasa hormat rakyat terhadap sistem Raja Berperlembagaan di negara ini.
Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pasir Gudang, Mohamad Farid Abdul Razak berkata, pihak bertanggungjawab perlu segera dibawa ke muka pengadilan.
Beliau menegaskan, perbuatan tersebut sangat biadab, melampau dan langsung tidak menghormati institusi diraja negara.
“Saya berpandangan bahawa tindakan seperti ini tidak boleh dipandang ringan. Individu atau pihak yang terlibat perlu dikenakan tindakan tegas mengikut lunas undang-undang tanpa sebarang kompromi.
“Ini agar menjadi pengajaran kepada mana-mana pihak supaya tidak sewenang-wenangnya menggunakan media sosial untuk menyebarkan fitnah, kebencian dan penghinaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pihaknya menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta pihak berkuasa berkaitan agar menjalankan siasatan segera dan mengambil tindakan pantas terhadap individu atau kumpulan terlibat dalam pengendalian akaun palsu tersebut.
“Sebagai rakyat Johor, saya percaya institusi diraja wajib dihormati dan dipelihara martabatnya. Kebebasan media sosial tidak boleh dijadikan alasan untuk menghina Raja serta menyebarkan kandungan yang melampaui batas adab dan undang-undang,” katanya.
Semalam, Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga Diraja Johor (RPO) mahu tindakan tegas diambil terhadap pihak yang menghasilkan akaun TikTok palsu memfitnah serta menghina Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Menurut hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, RPO memaklumkan akaun berkenaan memakai nama ‘Sultan Ibrahim Ismail’ dan dikesan menggunakan teknologi kecerdasan buatan untuk menyebarkan kandungan berunsur penghinaan terhadap baginda.
Antara kandungan dimuat naik ialah video memaparkan dakwaan kononnya Agong gemar memakan daging khinzir, yang disifatkan sebagai tidak benar serta menyentuh sensitiviti memandangkan Seri Paduka Baginda adalah Raja Melayu dan Ketua Negara beragama Islam.
RPO turut melahirkan rasa kesal terhadap satu lagi imej dalam akaun berkenaan yang memaparkan wajah baginda dipadankan pada tubuh seekor haiwan, yang jelas bersifat menghina dan tidak bertanggungjawab. – MalaysiaGazette
















