KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini mengarahkan pihak defendan memfailkan dan menyerahkan pembelaan mereka selewat-lewatnya pada 8 Jun depan berhubung kes berkaitan insiden Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (Garah).
Peguam, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, arahan itu dikeluarkan semasa pengurusan kes di hadapan Penolong Kanan Pendaftar, Nik Nur Amalina Mat Zaidan pagi tadi.
Menurutnya, mahkamah turut mengarahkan pihak defendan menyerahkan butiran pegawai polis yang terlibat dalam insiden berkenaan sebelum atau pada tarikh sama seperti dimohon menerusi surat plaintif bertarikh 12 Mei lalu.
“Mahkamah juga dimaklumkan Memorandum Kehadiran (MOA) yang sebelum ini difailkan Jabatan Peguam Negara Kuala Lumpur pada 13 April 2026 kini telah diambil alih dan dikendalikan oleh Jabatan Peguam Negara Putrajaya.
“Pengurusan kes seterusnya ditetapkan secara fizikal pada 12 Jun depan jam 9 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, pihak plaintif diwakili Zainul Rijal bersama Muhammad Isyraf Rusydi Mohd Fauzi manakala defendan diwakili peguam, Siti Syakimah Ibrahim.
Pada 16 Mac lalu, seramai 11 individu memfailkan saman terhadap kerajaan atas dakwaan penahanan salah semasa Himpunan GARAH di kompleks beli-belah Sogo di ibu negara.
Kesemua plaintif termasuk Pegawai Khas Komunikasi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Gulab Jan Fazal Eladi mendakwa penahanan itu melanggar hak kebebasan peribadi dan kebebasan bergerak mereka seperti diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Mereka turut menamakan Polis Diraja Malaysia (PDRM); Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam; Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus; Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Kerajaan Malaysia sebagai defendan.
Pada 8 Februari lalu, polis menahan 19 individu termasuk penyelaras himpunan GARAH, Zamri Vinoth dan Pengasas TanahMalaya.com, Tamim Dahari Abdul Razak berhampiran Sogo di sini.
Fadil dilaporkan berkata, semua yang ditahan berusia antara 30 hingga 64 tahun dan tindakan itu dibuat bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini termasuk kemungkinan berlakunya jenayah lain susulan perhimpunan berkenaan. – MalaysiaGazette















