Hishamuddin mendedahkan ibu tunggal dari Kelantan gagal mendapatkan kad pengenalan untuk kedua-dua anak kandungnya.

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) merayu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mempertimbangkan semula permohonan daftar lewat MyKad dua beradik lelaki yang didakwa mempunyai sijil kelahiran Malaysia serta disahkan anak kandung kepada ibu warganegara Malaysia menerusi ujian DNA.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, kedua-dua lelaki berusia 27 dan 23 tahun itu dilahirkan di Malaysia dan mempunyai sijil kelahiran Malaysia yang turut merekodkan status warganegara serta nombor kad pengenalan.

Menurutnya, ketika masih kecil sekitar tahun 2004, mereka didakwa dibawa keluar ke Jambi, Indonesia oleh bapa kandung tanpa pengetahuan dan persetujuan ibu kandung mereka.

“Sepanjang berada di Indonesia, kedua-dua mereka dibesarkan oleh datuk dan nenek dalam keadaan serba kekurangan selepas ditinggalkan bapa kandung yang kemudiannya menghilangkan diri.

“Mereka juga tidak mempunyai dokumen pengenalan diri lengkap selain rekod keluarga tempatan dikenali sebagai ‘Kartu Keluarga’ yang digunakan untuk tujuan persekolahan dan urusan pentadbiran tempatan di Indonesia,” dedah beliau hari ini.

Foto: Ihsan MHO

Hishamuddin berkata, sekitar tahun 2023, kedua-dua anak terbabit memperoleh pasport Indonesia dengan bantuan penduduk kampung dan jiran setempat bagi membolehkan mereka kembali ke Malaysia untuk mencari ibu kandung selepas terpisah selama bertahun-tahun.

Katanya, pasport Indonesia itu dipercayai dikeluarkan berdasarkan rekod ‘Kartu Keluarga’ tanpa sokongan dokumen asal Malaysia seperti sijil kelahiran atau dokumen pengenalan rasmi negara ini.

“Selepas kembali ke Malaysia, ibu kandung mereka telah mengambil pelbagai langkah bagi mendapatkan pengesahan identiti dan dokumen rasmi untuk kedua-dua anaknya di agensi berkaitan sejak tahun 2024.

“Bagi membuktikan hubungan kekeluargaan tersebut, ujian DNA turut dijalankan dan keputusan diperoleh mengesahkan kedua-dua lelaki itu merupakan anak kandung kepada ibu warganegara Malaysia berkenaan,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau mendakwa, proses berkaitan dokumentasi identiti dan permohonan daftar lewat MyKad kedua-dua lelaki terbabit masih berdepan kesukaran apabila beberapa permohonan dikatakan ditolak JPN.

Menurutnya, antara alasan penolakan dipercayai disebabkan percanggahan maklumat pada pasport Indonesia berbanding sijil kelahiran Malaysia termasuk ejaan nama dan tarikh lahir.

“Percanggahan itu berlaku kerana pasport Indonesia diperoleh ketika mereka berada dalam keadaan tanpa dokumen asal lengkap dari Malaysia selepas dibawa keluar dari negara ini semasa masih kecil.

“Pasport itu juga dibuat hanya bagi membolehkan mereka kembali ke Malaysia untuk mencari ibu kandung mereka,” jelas beliau.

Hishamuddin berkata, MHO berpandangan kes itu wajar dinilai secara menyeluruh dengan mengambil kira kewujudan sijil kelahiran Malaysia, rekod status warganegara, nombor kad pengenalan yang telah direkodkan, identiti ibu kandung serta bukti saintifik melalui DNA.

Katanya, beberapa keputusan mahkamah termasuk Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan sebelum ini turut menegaskan isu kewarganegaraan perlu dinilai berdasarkan keseluruhan fakta, elemen tempat lahir, keturunan biologikal serta pertalian darah.

“Kes ini lebih menjurus kepada isu pengesahan dan penyelarasan dokumentasi identiti berbanding ketidakpastian asal-usul atau pertalian darah biologikal.

“Ia bukan melibatkan tuntutan kewarganegaraan baharu, sebaliknya permohonan daftar lewat MyKad bagi individu yang telah mempunyai rekod kelahiran Malaysia sejak awal lagi,” ujarnya lagi.

Beliau berkata, MHO berharap ruang pertimbangan sewajarnya dapat diberikan berdasarkan keseluruhan fakta, dokumen sedia ada, bukti DNA serta prinsip keadilan dan kemanusiaan demi memastikan masa depan kedua-dua anak terbabit dapat dipelihara.

“Mereka hanya mahu peluang untuk bekerja, memiliki identiti sendiri dan membina masa depan yang lebih baik di negara tempat mereka dilahirkan serta tempat ibu kandung mereka berasal,” tegasnya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast