KUANTAN – Seorang isteri mengakui berasa berat dan malu untuk meminta bantuan orang ramai, namun keadaan suaminya yang kini bertarung dengan tumor di kepala serta kanser tiroid memaksa mereka mengetepikan rasa itu demi peluang untuk terus hidup.
Mohd Rizuwan Muhammad Ini, 42, memerlukan kira-kira RM25,000 bagi menampung kos rawatan, ubat-ubatan dan keperluan perubatan sebelum menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sekitar Jun ini.
Isterinya, Lailatul Hidayah Kamal Hatta, 42, berkata, penderitaan suaminya bermula sejak tahun 2019 apabila terdapat benjolan pada leher sebelum disahkan menghidap kanser tiroid.
Menurutnya, keadaan Mohd Rizuwan semakin serius apabila lehernya membesar dan membengkok sehingga perlu menjalani pembedahan di Hospital Pekan kerana ketumbuhan itu sudah melekat pada tulang.

“Selepas pembedahan pertama, keadaan suami kembali stabil hampir dua tahun. Kami sangka semuanya semakin baik, tetapi ketumbuhan muncul semula di sebelah kiri leher.
“Ketika membuat CT scan, doktor pula mengesan sesuatu pada bahagian kepala sebelum MRI mengesahkan terdapat tumor, selepas enam tahun baru disahkan kanser tirod dan benjolan di kepala pula.
“Suami memerlukan ubat khas dan menjalani pembedahan di kepala dahulu kemudian di leher,” katanya ketika ditemui di Taman Balok Makmur di sini.
Katanya, suaminya pernah menjalani prosedur pembedahan awal di Hospital Tengku Ampuan Afzan tahun lalu, namun doktor terpaksa menghentikan prosedur selepas mendapati keadaan tumor lebih rumit dan terlalu hampir dengan otak.
“Doktor beritahu hanya sekitar 80 peratus ketumbuhan boleh dibuang dan selebihnya perlu dirawat menggunakan radioterapi dan rawatan susulan,” katanya.

Menurut Lailatul Hidayah, mereka kini benar-benar tersepit apabila kos rawatan semakin meningkat sedangkan suaminya yang bekerja kilang dengan pendapatan sekitar RM2,500 sebulan merupakan satu-satunya pencari nafkah keluarga.
Katanya, mereka juga perlu menyediakan ubat khas sebelum pembedahan yang dianggarkan sekitar RM900 sebotol selain kos lain termasuk penggunaan mesin pemantauan saraf untuk pembedahan tiroid kedua nanti.
“Sejujurnya saya malu hendak meminta bantuan, tetapi keadaan kami sekarang benar-benar mendesak.
“Saya tidak bekerja dan masih ada anak yang bersekolah. Kami hanya berharap suami dapat menjalani rawatan dan kembali sihat seperti dulu,” katanya sebak.
Tambahnya, pembedahan kedua bagi kanser tiroid hanya akan dilakukan selepas keadaan Mohd Rizuwan kembali stabil selesai menjalani pembedahan tumor kepala.
Mohd Rizuan kini mengharapkan keajaiban namun tidak berputus asa dan masih berjuang mencari nafkah dengan bekerja di kilang berhampiran rumahnya.
Dia turut berkongsi keadaan kesihatannya yang semakin merosot apabila berat badan semakin susut, telinga berdengung dan kesukaran tidur pada waktu malam.
Bapa anak tiga itu berharap dapat menjalani pembedahan dengan segera dan diberikan kesembuhan supaya dapat terus menyara keluarga kerana masih mempunyai dua anak yang bersekolah. – MalaysiaGazette















