Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar menunjukkan suspek berkaitan tangkapan sindiket ''Call Centre'' dalam empat serbuan berasingan di Daerah Shah Alam dan Daerah Sepang di IPK Selangor, Shah Alam. Foto AIZAT ZAINAL, 21 MEI 2026.

SHAH ALAM – Polis menumpaskan sindiket penipuan tawaran pekerjaan sambilan dalam talian yang menyasarkan warganegara Iraq menerusi serbuan di sebuah banglo dua tingkat di Setia Alam di sini Selasa lalu.

Polis berjaya menahan 14 lelaki serta rampasan pelbagai peralatan dipercayai digunakan dalam kegiatan jenayah itu bernilai RM132,000.

Serbuan kira-kira pukul 3.30 petang itu dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam bersama anggota Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, semua suspek yang ditahan berusia antara 19 hingga 41 tahun.

“Daripada jumlah itu, seorang merupakan lelaki tempatan manakala 13 lagi adalah warga asing. Kesemua suspek disyaki terlibat dalam sindiket penipuan tawaran pekerjaan sambilan yang menyasarkan warganegara Iraq,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan mula beroperasi sejak Februari lalu dan dipercayai menggunakan aplikasi WhatsApp, Telegram serta beberapa laman sesawang bagi memperdayakan mangsa.

Semua individu yang ditahan dipercayai bertindak sebagai operator yang menawarkan pekerjaan sambilan secara dalam talian kepada mangsa luar negara.

“Hasil serbuan, polis turut merampas 20 unit telefon bimbit, 12 unit set komputer, dua buah motokar dan satu unit penghala WiFi. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM132,000,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu serta Seksyen 120B Kanun Keseksaan kerana pakatan jenayah.

“Kesemua suspek kini direman sehingga 23 Mei bagi membantu siasatan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast