ISKANDAR PUTERI – Polis menahan tujuh lelaki warga asing bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang juruteknik yang ditemui mati dengan beberapa tikaman di sebuah pangsapuri di sini pada 13 Mei lalu.
Pemangku Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat berkata, kesemua suspek 17 hingga 45 tahun itu ditahan sekitar Masai di sini dan di Mersing pada 19 Mei lalu.
“Penahanan semua suspek dibuat hasil risikan dan tindakan susulan polis selepas menemukan kereta Perodua Myvi milik mangsa di sekitar kawasan Masai.
“Semua suspek direman sehingga 26 Mei ini bagi membantu siasatan lanjut kes berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Iskandar Puteri di sini hari ini.
Chuan Huat berkata, polis masih menyiasat motif kejadian dan tidak menolak kemungkinan akan ada lagi tangkapan dibuat dalam tempoh terdekat.
Polis turut mengesahkan terdapat beberapa kesan tikaman pada tubuh badan mangsa namun enggan mendedahkan lebih maklumat lanjut kerana masih dalam siasatan.
Polis mengklasifikasikan kes itu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Terdahulu portal ini melaporkan mangsa maut dipercayai ditikam berkali-kali dalam sebuah unit pangsapuri di Prima Tebrau, di sini, pada 13 Mei lalu.
Mayat mangsa yang masih bujang itu ditemui kira-kira 10.50 malam dalam keadaan berlumuran darah dengan sebilah pisau ditemui di sisinya.
Mayat mangsa ditemui apabila rakan sekerjanya meminta bantuan pengawal keselamatan pangsapuri selepas mangsa dipercayai tidak datang bekerja selama tiga hari.- MalaysiaGazette
















