Gambar: Ihsan JIM.

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mendakwa lima warga asing masing-masing tiga dari Indonesia dan dua Bangladesh atas pelbagai kesalahan berkaitan penyeludupan migran di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM.

Ia susulan beberapa operasi khas di Negeri Sembilan dan Selangor awal bulan ini.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, tiga tertuduh warga Indonesia terbabit merupakan antara individu yang ditahan dalam Operasi Khas JIM di sekitar Seremban, Negeri Sembilan dan Rawang, Selangor pada 7 Mei lalu.

Menurut beliau, seorang tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban semalam manakala dua lagi didakwa di Mahkamah Sesyen Khas ATIP Klang pada 15 Mei lepas.

“Pendakwaan dibuat di bawah ATIPSOM melibatkan peranan tertuduh sebagai transporter serta penjaga rumah penampungan yang dipercayai menjadi sebahagian daripada rangkaian sindiket penyeludupan migran,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, seorang tertuduh didakwa di bawah Seksyen 26J ATIPSOM 2007 yang memperuntuk hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM250,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Dua lagi tertuduh pula didakwa di bawah Seksyen 26H akta sama atas kesalahan menyembunyikan atau melindungi migran yang diseludup,” katanya.

Tambah beliau, Mahkamah Sesyen Seremban memerintahkan kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Seremban tanpa sebarang tawaran jaminan, manakala dua lagi kes di Klang turut dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam dengan kedua-dua tertuduh diperintahkan ditahan di penjara sementara menunggu sebutan semula kes.

Sementara itu, dua lelaki warga Bangladesh yang dikenali sebagai eng Shafik” turut didakwa di Mahkamah Sesyen Khas ATIP Klang pada 15 Mei lalu.

Zakaria berkata, kedua-dua tertuduh ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di sekitar Petaling Jaya, Selangor yang dipercayai dijadikan lokasi penampungan dan transit pendatang asing tanpa izin (PATI) pada 7 Mei lalu.

Pendakwaan bagi kes Geng Shafik: gambar: Ihsan JIM.“Hasil pemeriksaan membawa kepada penahanan sembilan warga Bangladesh yang dipercayai diseludup masuk ke Malaysia,” katanya.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati, semua migran terbabit memasuki negara jiran kira-kira dua hari sebelum dibawa masuk secara haram ke negara ini melalui laluan di Kelantan sebelum dihantar ke sekitar Lembah Klang dan beberapa destinasi lain.

Kedua-dua tertuduh dipercayai bertindak sebagai penyelaras sindiket atau fasilitator serta penjaga rumah transit bagi sindiket Geng Shafik.

“Mereka didakwa di bawah Seksyen 26H Akta ATIPSOM 2007 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan kerana melindungi sembilan migran yang diseludup di sebuah premis kediaman di Petaling Jaya,” katanya.

Mahkamah turut memerintahkan kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam dan tiada jaminan dibenarkan terhadap kedua-dua tertuduh.

Dalam pada itu, Zakaria menegaskan, JIM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran.

“Tindakan penguatkuasaan akan terus dipergiatkan bagi memastikan semua pelaku dibawa ke muka pengadilan.

“Mana-mana individu atau rangkaian sindiket yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran akan berdepan tindakan undang-undang tegas sebagai manifestasi komitmen berterusan kerajaan dalam membanteras jenayah rentas sempadan yang mengancam keselamatan, ketenteraman awam dan kedaulatan negara,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast