Michael Carrick. Foto Manchester Evening News.

LONDON – Manchester United mengesahkan pelantikan Michael Carrick sebagai pengurus tetap selepas kejayaannya mengemudi kelab itu menamatkan musim di tangga ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL).

“Dengan sukacitanya kami mengumumkan Michael Carrick akan kekal sebagai ketua jurulatih selepas menandatangani kontrak baharu,” umum Man United dalam satu kenyataan.

Bekas pemain Man United itu mengambil alih secara sementara selepas Ruben Amorim dipecat pada Januari lalu dan berjaya mengemudi kebangkitan pasukan untuk layak ke Liga Juara-Juara.

Carrick, 44, yang merupakan bekas pemain tengah England beraksi selama 12 tahun di Old Trafford dan memenangi lima gelaran EPL, Liga Juara-Juara serta Piala FA.

“Sejak saya tiba di sini 20 tahun lalu, saya sudah merasai magis Manchester United. Memikul tanggungjawab untuk memimpin kelab istimewa ini memberi saya satu kebanggaan besar.

“Dalam tempoh lima bulan lalu, pemain sudah menunjukkan tahap ketahanan, kebersamaan dan keazaman yang kami tuntut di sini,” kata Carrick dalam kenyataan sama.

Man United sebelum ini berada dalam keadaan tidak menentu selepas Amorim dipecat, dengan keputusan taktikal pengendali dari Portugal itu menyebabkan pemain hilang keyakinan.

Sementara, Pengarah Bola sepak Man United, Jason Wilcox berkata, Carrick sudah membuktikan keupayaannya sejak mengambil alih pasukan. – Agensi

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast