ISKANDAR PUTERI – Polis menahan enam lelaki bagi membantu siasatan kes seorang lelaki tempatan ditemukan maut dalam keadaan berlumuran darah di depan sebuah kedai makan di pekan Nanas, Pontian, semalam.
Pemangku Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat berkata, semua suspek itu yang diberkas hari ini merupakan warga tempatan.
Beliau berkata, tangkapan dilakukan bermula tengah malam tadi hingga awal pagi ini di beberapa lokasi sekitar Johor Bahru hasil operasi khas yang dijalankan.
“Motif pembunuhan masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Beliau berkata demikan dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Iskandar Puteri di sini, hari ini.
Semalam portal ini melaporkan mangsa ditemukan terbaring berlumuran darah di hadapan sebuah kedai makan dan suspek masih diburu.
Siasatan mendapati, mangsa adalah seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun mengalami cedera parah pada tangan dan kaki, dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. – MalaysiaGazette
















