KUALA LUMPUR – Datuk Dr Ibrahim Ali mendakwa, rakyat negara ini semakin tertekan dengan kos sara hidup yang meningkat ketika sebahagian ahli politik didakwa lebih sibuk mengejar kuasa, jawatan dan kepentingan politik sendiri berbanding membela nasib rakyat.
Menurut Presiden Parti Bumiptera Perkasa Malaysia (Putra), rakyat kini bergelut untuk meneruskan kehidupan termasuk membayar hutang, sewa rumah, ansuran kenderaan, perbelanjaan sekolah anak serta kos harian yang semakin membebankan.
“Semua nampak elok dan berita daripada pemimpin atau agensi kerajaan semuanya bagus tetapi di lapangan rakyat menderita dengan kos sara hidup yang makin tertekan.
“Ramai orang politik pula sibuk kira kerusi, jawatan, kuasa dan masa depan politik sendiri. Cerita rakyat hanya sambil lalu. Kesian rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ibrahim turut menyifatkan politik negara ketika ini sudah menjadi ‘penyakit kronik’ apabila ramai pemimpin didakwa menggunakan nama perjuangan rakyat untuk kepentingan peribadi.
Katanya, ada pemimpin yang bertindak menubuhkan parti baharu apabila kalah, dipecat atau gagal memperoleh jawatan dalam parti.
“Bila kalah tubuh parti, bila kena pecat tubuh parti, bila tak dapat tempat tubuh parti. Akhirnya rakyat cuma dijadikan alasan untuk orang politik panjat tangga kuasa,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan sejauh mana ahli politik benar-benar memperjuangkan nasib rakyat termasuk petani, nelayan, peniaga kecil dan golongan muda yang menganggur.
“Rakyat hari ini bukan bodoh lagi. Rakyat nampak pemimpin syok sendiri dan tidak cukup dengan apa yang ada,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ibrahim mendakwa banyak pergolakan politik yang berlaku hari ini bukan berpunca daripada prinsip perjuangan atau usaha menyelamatkan negara, sebaliknya disebabkan ego, perebutan jawatan dan nafsu politik.
“Masa belum ada kuasa, cakap macam pejuang rakyat. Bila sudah dapat kuasa sedikit, terus lupa tanah tempat berpijak,” katanya.
Beliau turut menegur gaya hidup segelintir pemimpin yang disifatkan terlalu mewah sehingga jauh daripada realiti kehidupan rakyat biasa.
“Rakyat jangan mudah terpesona dengan pemimpin yang hidup terlalu mewah. Tengok jam mahal terus kagum, tengok kereta mewah terus sanjung.
“Kadang-kadang semua itu bukti pemimpin itu sudah terlalu jauh daripada denyut nadi rakyat biasa,” katanya.
Menurut beliau lagi, politik masa kini juga semakin berubah menjadi medan hiburan apabila ada pemimpin lebih sibuk membina imej dan populariti berbanding mencari penyelesaian terhadap isu rakyat.
“Ada podcast, konten, karaoke dan pelbagai gaya santai tetapi bila rakyat tanya soal harga barang, peluang pekerjaan anak muda dan kos hidup, jawapannya kabur,” katanya.
Pada masa sama, Ibrahim mengingatkan rakyat supaya lebih bijak memilih pemimpin dan tidak terlalu taksub mempertahankan mana-mana individu.
“Pemimpin rosak tidak jatuh dari langit. Mereka naik sebab rakyat pilih, rakyat sokong dan rakyat pertahankan membuta tuli,” katanya.
Beliau berkata, sudah tiba masanya rakyat memilih pemimpin yang bersih, berintegriti, hidup sederhana dan benar-benar serius membela nasib rakyat.
“Negara ini tidak perlukan pelakon politik. Negara ini perlukan pemimpin yang ada hati dan jiwa benar-benar untuk rakyat,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















