POLITIK Malaysia selepas Pilihan Raya Umum ke-15 dibina atas satu gagasan yang besar iaitu kestabilan.
PRU-15 telah menghasilkan Parlimen tergantung yang mana ketika itu Pakatan Harapan memenangi 82 kerusi, Perikatan Nasional 73, manakala Barisan Nasional hanya 30 kerusi.
Daripada keputusan yang tidak memberi majoriti mutlak itulah lahirnya Kerajaan Perpaduan. Ia merupakan satu formula atas saranan titah Yang Di-pertuan Agong ketika itu yang tidak ideal bagi semua pihak tetapi dianggap perlu bagi mengelak negara terus hanyut dalam kitaran ketidakstabilan politik.
Namun selepas tiga tahun, rakyat sedang bertanya sama ada Pakatan Harapan yang memimpin Kerajaan pada hari ini benar-benar sudah belajar menjadi kerajaan, atau masih berfikir seperti pembangkang.
Jawapan kepada persoalan itu boleh dilihat dalam cara PH memilih sasaran politiknya. UMNO dan BN yang kini menjadi rakan dalam Kerajaan Perpaduan, masih terlalu kerap diperlakukan sebagai lawan utama dalam nada dan tindak balas politik.
Pada masa yang sama, ancaman lebih nyata terhadap masa depan PH datang daripada dua penjuru lain: PN dan Pas di blok pembangkang Melayu-Islam dan gerakan baharu Rafizi Ramli serta Nik Nazmi Nik Ahmad melalui Parti Bersama Malaysia.
Peristiwa di Johor baru-baru ini memberi gambaran paling jelas tentang percanggahan itu. Selepas BN Johor menyatakan hasrat bertanding semua 56 kerusi pada pilihan raya negeri akan datang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membalas dengan nada keras dalam Konvensyen PH di Johor Bahru.
Beliau berkata PH juga bersedia bertanding di semua kerusi
negeri, bukan sahaja di Johor tetapi juga di Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang dan Pahang.
Lebih penting, beliau turut membayangkan kemungkinan pilihan raya umum awal sekiranya hubungan dalam Kerajaan Perpaduan terus terhakis.
Anwar dipetik berkata jika BN memilih “perang”, PH akan “melawan dengan serius”. Laungan tolak UMNO, pengkhianat juga bergema di setiap sudut konvensyen tersebut.
Dari sudut politik dalaman PH, kenyataan itu mungkin dianggap perlu untuk menunjukkan kekuatan. Tetapi dari sudut rakyat, mesejnya bercampur-baur.
Bagaimana sebuah kerajaan yang meminta rakyat percaya kepada kestabilan boleh pada masa sama menayangkan ketegangan terbuka antara dua komponen penting kerajaan sendiri?
Lebih menarik, episod itu berlaku hampir serentak dengan perkembangan yang jauh lebih memberi ancaman kepada PH secara organik: Rafizi dan Nik Nazmi, tokoh reformasi PKR mengumumkan langkah meninggalkan PKR, mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing dan mengambil alih Parti Bersama Malaysia.
Reuters memperlihatkan bahawa perkembangan ini jauh lebih mencabar kedudukan politik PH.
Di sinilah wujud kejanggalan politik. Terhadap BN, nada yang muncul ialah amaran keras, ancaman ‘perang’ dan laungan pengkhianat.
Terhadap Rafizi dan Nik Nazmi pula, reaksi Anwar dilihat lebih tenang dan dingin. Ketika ditanya mengenai langkah dua bekas pemimpin kanan PKR itu, Anwar dilaporkan menjawab ringkas: “I am not following.”
Itu bukan satu perkembangan kecil. Rafizi bukan pelakon sampingan dalam naratif reformasi PH.
Beliau pernah dilihat sebagai antara figura masa depan PKR dan antara pemungkin tumbangnya Kerajaan Barisan Nasional pada 2018.
Nik Nazmi pula mewakili wajah generasi kepimpinan
muda yang selama ini sinonim dengan politik bandar, reformasi dan kelas menengah progresif.
Perbezaan layanan naratif PH nampak ketara. Apabila rakan kerajaan membuat persediaan pilihan raya di negerinya sendiri yang dimenangi secara sendiri sebelum wujudnya Kerajaan Perpaduan, tindak balasnya keras dan kasar.
Apabila dua bekas pemimpin kanan PKR membawa keluar naratif reformasi ke platform baharu, tindak balasnya kelihatan lebih prosedural.
Tenaga emosi terbesar dalam ruang politik PH tidak sepenuhnya dihalakan kepada Bersama. Ia tidak juga sepenuhnya dihalakan kepada PN atau Pas.
Sebaliknya, api politik PH dengan cepat berpatah balik kepada UMNO dan BN.
Di sinilah persoalannya: mengapa UMNO dan BN terus menjadi sasaran emosi paling mudah PH sedangkan ancaman masa depan PH sebenarnya datang dari arah lain?
PN dan Pas sedang menekan PH dari medan Melayu-Islam. Dalam PRN enam negeri pada 2023, walaupun blok kerajaan mengekalkan tiga negeri, PN memenangi 146 daripada 245 kerusi yang dipertandingkan, berbanding 99 oleh gabungan kerajaan.
Itu ancaman sebenar kepada PH dalam medan Melayu, luar bandar dan pengundi konservatif.
PN dan Pas tidak memerlukan UMNO untuk melemahkan PH.
Mereka hanya perlu terus membina naratif bahawa kerajaan hari ini gagal mewakili keresahan Melayu, Islam, kos sara hidup dan ketidakpuasan terhadap kompromi politik serta janji reformasi yang tidak tertunai.
Pada masa yang sama, Bersama berpotensi menekan PH dari medan reformis-anak muda. Parti itu mungkin belum terbukti sebagai kuasa pilihan raya.
Tetapi dalam politik, ancaman tidak semestinya bermula dengan jumlah kerusi. Ia bermula apabila satu pihak berjaya mencuri bahasa perjuangan pihak lain.
Jika Bersama berjaya membawa naratif bahawa “reformasi sebenar sudah meninggalkan PH”, ia tidak perlu menang besar untuk mencederakan PH. Cukup sekadar menarik sebahagian pengundi bandar, pengundi muda, penyokong reformasi lama dan kelompok yang kecewa dengan kompromi kerajaan.
Itulah segmen yang selama ini menjadi nadi moral PH dan deposit pengundi PH.
Maka PH sebenarnya sedang diserang dari dua arah: PN/Pas dari kanan Melayu-Islam, Bersama dari dalam naratif reformisnya sendiri.
Dalam konteks ini, UMNO dan BN menjadi sasaran yang selesa kerana ia musuh lama. Naratif anti-UMNO pernah menjadi bahan bakar utama PH.
Bahasa seperti “penyamun”, “perasuah” dan “penyangak” mempunyai kuasa politik ketika PH berada di luar kerajaan. Ia membina garis moral yang jelas: kami lawan mereka; reformasi lawan kleptokrasi; rakyat lawan elit lama.
Tetapi apabila PH menjadi kerajaan, bahasa yang sama tidak lagi berfungsi dengan cara yang sama. Sebuah kerajaan tidak boleh hidup terlalu lama atas bahasa kempen. Ia mesti menjawab dengan dasar, bukti, proses, institusi dan hasil serta janji yang telah ditunaikan.
Di sinilah bezanya menjadi pembangkang dan menjadi kerajaan. Ketika menjadi pembangkang, cukup untuk berkempen, meraih sokongan dengan menamakan satu pihak sebagai penjahat.
Ketika menjadi kerajaan, seseorang mesti membuktikan prosesnya adil, undang-undangnya kukuh, dan institusinya bebas serta menunaikan janji yang pernah dilaungkan.
Akhirnya, persoalan yang lebih besar bukan sama ada PH berhak mengkritik UMNO dan BN atau sebaliknya.
Dalam demokrasi, setiap parti berhak menegur rakan mahupun lawan. Persoalannya ialah keutamaan.
Jika terlalu banyak tenaga politik PH digunakan untuk mengawal, menegur atau menyerang UMNO/BN, siapa yang sedang menumpukan serangan terhadap PN dan Pas?
Siapa yang sedang menjawab cabaran reformasi daripada Bersama? Siapa yang sedang meyakinkan pengundi muda bahawa kerajaan ini masih membawa perubahan, bukan sekadar mengurus kuasa demi kepentingan sendiri?
Di pihak UMNO dan BN pula, respons terbaik bukanlah membalas dengan bahasa marah. Itu perangkap. Jika UMNO dan BN terlalu reaktif, PH akan membawa semula perbahasan ke medan yang paling selesa untuknya: sejarah lama, label lama dan moraliti lama.
Sebaliknya, UMNO dan BN perlu mengambil posisi lebih matang dan lebih stabil. Naratifnya harus jelas: UMNO dan BN menyertai Kerajaan Perpaduan untuk kestabilan negara bukan untuk menjadi bahan serangan mudah politik PH.
Jika PH mahu berlawan, lawanlah pembangkang, lawanlah pencuri idealisma reformasi. Jika PH mahu mentadbir, hormatilah rakan yang memastikan kerajaan ini stabil.
PH kini berada di persimpangan. Ia boleh terus bermain dengan skrip lama iaitu UMNO sebagai musuh abadi, slogan moral sebagai senjata utama dan amaran politik sebagai tindak balas pertama.
Atau ia boleh menerima hakikat baharu: musuh pilihan raya yang sebenar ialah PN dan Pas; pencabar reformasi yang sebenar ialah Bersama dan ujian terbesar kerajaan ialah menyelesaikan menunaikan janji-janji lama serta menyelesaikan masalah rakyat.
Kelemahan sebenar PH ialah ia masih perlu menyerang UMNO/BN untuk mengingatkan dirinya siapa dirinya. Sedangkan masa depan PH tidak tidak dicabar oleh UMNO dan BN yang bersama di dalam kerajaan.
Masa depan PH sedang dicabar oleh PN dan Pas di medan Melayu-Islam dan Parti Bersama Malaysia di medan reformis-anak muda.

RAZIZ RASHID merupakan pengamal komunikasi strategik. Beliau merupakan mantan Ketua Unit Komunikasi Korporat di Jabatan Perdana Menteri.
















