Aksi pasukan Malaysia beraksi menentang pasukan Myanmar pada aksi separuh akhir acara Regu yang berkesudahan skuad negara tewas 2-0 pada Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 18 MEI 2026. (gambar fail)

KUALA LUMPUR – Kekalahan skuad regu negara kepada Myanmar pada aksi separuh akhir Piala Dunia Sepak Takraw 2026 pada Selasa lepas tidak dianggap sebagai pengakhiran, sebaliknya menjadi pengajaran berguna menjelang dua lagi kejohanan utama tahun ini.

Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan optimis pemain negara termasuk Farhan Adam, Mohammad Syahir Rosdi dan Mohamad Azlan Alias mampu kembali berada pada tahap sebenar selepas mengharungi tempoh mencabar sebelum ini.

Beliau berkata pemain juga telah diingatkan supaya mengetepikan segala kritikan dan kembali fokus kepada corak permainan mereka menjelang Kejohanan Sepak Takraw Dunia Piala Raja Thai ke-39 di Bangkok, Thailand dari 3 hingga 11 Ogos dan Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun pada 19 Sept hingga 4 Okt.

“Saya memang yakin mereka akan bangkit semula. Mungkin sebelum ini ada pemain yang sedikit down dan tak beraksi dengan bagus tapi perlahan-lahan mereka sudah dapat semula rentak permainan, terutama dalam acara berpasukan.

“Kita boleh tengok mereka mula dapat momentum dan saya percaya mereka akan tampil lebih baik selepas ini,” katanya.

Menurut Sumali, kekalahan pada kejohanan besar perlu dijadikan pengalaman penting buat pemain bagi memastikan mereka lebih bersedia daripada aspek mental dan fizikal ketika menghadapi saingan antarabangsa.

Beliau berkata pemain juga tidak boleh terlalu mudah hilang keyakinan kerana kesilapan kecil pada awal permainan boleh memberi kesan kepada keseluruhan rentak pasukan.

“Bila dah masuk kejohanan besar, pemain kena bersedia dalam apa jua keadaan. Jangan terlalu down atau hilang fokus.

“Kesilapan pada awal permainan banyak mengganggu momentum regu kita ketika menentang Myanmar,” katanya.

Impian Malaysia untuk melihat skuad regu negara beraksi pada final lebur selepas dikejutkan dengan kekalahan 0-2 kepada Myanmar pada aksi separuh akhir, Selasa lepas.

Skuad regu bagaimanapun masih mempunyai harapan untuk menjuarai Piala Dunia bagi acara regu berpasukan apabila melangkah ke suku akhir bertemu Jepun.

Dalam pada itu, Mohd Sumali berkata bagi Sukan Asia 2026, barisan pemain sedia ada masih berada dalam perancangan pasukan, namun perubahan tetap boleh dilakukan mengikut prestasi semasa pemain.

“Kalau perlu kami buat sedikit rombakan, kami akan buat tapi saya tengok ketiga-tiga regu kita agak seimbang dan masing-masing ada kekuatan tersendiri.

“Pemain juga boleh bertukar posisi dan kami perlu sentiasa bersedia menggunakan pemain simpanan atau joker bila diperlukan,” katanya. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast