KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa meminda undang-undang sedia ada bagi memperketat hukuman terhadap pelaku jenayah seksual membabitkan kanak-kanak.
Presiden Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP), Datuk Dr Loga Bala Mohan berkata, peningkatan kes serangan seksual dan rogol terhadap kanak-kanak termasuk yang didakwa melibatkan guru di sekolah semakin membimbangkan serta mengejutkan ibu bapa dan masyarakat.
Menurutnya, hukuman sedia ada dilihat tidak lagi memadai untuk memberi pengajaran dan kesan pencegahan terhadap pesalah.
“PPP mencadangkan supaya semua kesalahan seksual melibatkan kanak-kanak diklasifikasikan sebagai kesalahan berat dengan pesalah yang disabitkan dikenakan hukuman penjara seumur hidup tanpa parol.
“Bagi kesalahan lain seperti cabul, mencabul kehormatan dan gangguan seksual, hukuman penjara juga perlu dipertingkatkan sehingga 20 tahun serta sebatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Loga Bala berkata, kerajaan juga wajar mempertimbangkan pelaksanaan kebiri kimia (rawatan menggunakan ubat bagi kurangkan nafsu dorongan seksual) terhadap pesalah seksual kanak-kanak berulang tertakluk kepada perlindungan undang-undang dan perubatan yang ketat.
Katanya, langkah itu sudah dilaksanakan di beberapa negara sebagai sebahagian daripada usaha pemulihan dan pencegahan bagi mengurangkan risiko pengulangan jenayah seksual.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan keputusan penghakiman membabitkan kes penderaan seksual di sebuah rumah anak yatim di Selayang baru-baru ini sebagai mengecewakan kerana hukuman dikenakan didakwa tidak mencerminkan trauma serta kesan jangka panjang dialami mangsa.
“Keadaan ini menunjukkan perlunya reformasi hukuman yang lebih tegas supaya keadilan benar-benar dirasai mangsa dan keluarga mereka,” ujarnya.
Beliau turut berkata perkembangan pesat teknologi digital serta pendedahan kepada kandungan pornografi dan bahan tidak sesuai dipercayai menjadi antara faktor yang meningkatkan risiko jenayah seksual terhadap kanak-kanak.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan perlu bertindak segera memperkukuh kerangka perundangan bagi memastikan kebajikan dan keselamatan kanak-kanak terus terpelihara serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara. -MalaysiaGazette















