KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki selepas dipercayai memandu secara melulu sehingga menyebabkan kemalangan melibatkan dua kenderaan di Jalan PJU 8/1, dekat Damansara Perdana, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.27 pagi itu, seorang wanita tempatan berusia 20-an yang merupakan penumpang sebuah Perodua Bezza dilaporkan cedera.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 10.31 pagi melalui Kaunter Aduan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila suspek yang berusia lingkungan 20-an memandu sebuah kenderaan utiliti sukan jenis Honda HR-V, telah gagal berhenti di persimpangan lampu isyarat merah sebelum merempuh sebuah Perodua Bezza yang dipandu lelaki tempatan seusia dengannya.
“Akibat pelanggaran tersebut, seorang penumpang wanita dalam kenderaan Perodua Bezza mengalami kecederaan. Kejadian ini juga didapati telah tular di media sosial,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, suspek telah ditahan di pekarangan IPD Petaling Jaya dan hasil ujian alkohol serta saringan awal air kencing mendapati lelaki itu negatif bahan terlarang dan alkohol.
“Permohonan reman terhadap suspek akan dijalankan pada 24 Mei 2026 di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya,” ujarnya.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.
Dalam masa sama, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Petaling Jaya turut menjalankan siasatan selari di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Shamsudin berkata, polis memandang serius sebarang pelanggaran undang-undang jalan raya dan tidak akan berkompromi terhadap pengguna jalan raya yang gagal mematuhi peraturan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Sivam a/l Muniandy di talian 03-79662222 atau hadir ke balai polis berhampiran,” katanya. – MalaysiaGazette
















