KULAI – Seorang pemuda maut selepas motosikal ditunggang kemalangan dengan sebuah lori di kilometer 7 Jalan Kulai-Kota Tinggi, arah Kulai di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, Bahagian Siasatan Jenayah dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai menerima makluman kejadian tersebut berlaku pukul 7.40 pagi.
“Kemalangan melibatkan motosikal jenis Suzuki dan lori jenis Hohan. Kemalangan berlaku apabila penunggang terbabit yang berusia 21 tahun dari arah Kota Tinggi menghala ke Kulai telah hilang kawalan.
“Motosikal tersebut kemudian kemudian melanggar lori berkenaan dipandu seorang lelaki warga tempatan berumur 49 tahun yang ketika itu sedang membelok masuk ke kanan menuju ke tapak pembinaan perumahan di arah yang sama,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, akibat daripada kemalangan tersebut penunggang cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Pemandu lori pula katanya, tidak mengalami sebarang kecederaan, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan tersebut menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Ruslan Mohamed 013-3063710 atau hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kulai.- MalaysiaGazette
















