KUALA LUMPUR – Hanya tiga hli Jawatankuasa (AJK) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Shah Alam yang mengesahkan telah keluar parti secara sukarela.
Ketua PKR Cabang Shah Alam, Mohd Najwan Halimi berkata, tindakan mereka dipercayai didalangi oleh salah seorang Ahli Parlimen PKR yang kecewa susulan kekalahan dalam pemilihan parti merebut jawatan di peringkat pusat dan cabang tahun lalu.
“PKR Cabang Shah Alam kekal utuh dan tidak akan tunduk dengan `rencana makar’ oleh pemimpin yang bersifat gunting dalam lipatan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Terdahulu, Mohd Najwan mengesahkan PKR Cabang Shah Alam telah menjalankan siasatan dan semakan daripada nama-nama di dalam kenyataan media yang mendakwa telah keluar dari parti itu baru-baru ini.
Terbaharu, sayap Wanita PKR Pusat dilaporkan mengambil alih, menyelia dan menguruskan segala urusan pentadbiran Wanita Cabang Shah Alam serta-merta.
Ia susulan kegagalan sayap itu melaksanakan Mesyuarat Agung Tahunan Wanita Cabang (MATWC) dalam tempoh yang ditetapkan.
Setiausaha Wanita PKR, Sangetha Jayakumar berkata, tindakan itu diambil selaras dengan Peraturan Tetap Wanita Keadilan
bagi memastikan kebajikan serta aktiviti ahli-ahli di peringkat Shah Alam tidak terjejas.
Terdahulu, media melaporkan seramai 21 AJK Cabang PKR Shah Alam bersama sebahagian besar pimpinan wanita cabang itu mengumumkan peletakan jawatan serta pengunduran mereka daripada parti berkuat kuasa serta-merta. – MalaysiaGazette
















