A. Rahim Kasdi

KUALA LUMPUR – Desakan Pas supaya diberikan peluang bertanding kerusi Parlimen Gombak dan semua Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawahnya pada pilihan raya akan datang memperlihatkan parti itu sudah hilang keyakinan terhadap kemampuan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam mempertahankan kawasan berkenaan.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, A. Rahim Kasdi berkata, situasi itu turut memperlihatkan di dalam Perikatan Nasional (PN) sendiri sudah ada pihak yang mula melihat tokoh lama mereka bukan lagi aset, tetapi beban untuk dipertahankan.

Menurutnya, umum mengetahui kawasan Gombak selama ini dianggap kubu kuat Bersatu dan sinonim dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Setiausaha Agung Bersatu.

Namun, dakwa beliau, apabila akar umbi Pas sendiri mula mendesak supaya kerusi itu diserahkan kepada Pas, mesej yang dihantar cukup jelas iaitu mereka sendiri sudah hilang keyakinan terhadap kemampuan Bersatu mempertahankan Gombak.

“Menariknya, kenyataan itu hadir bukan daripada musuh politik PN, tetapi daripada sekutu mereka sendiri.

“Ini sekali lagi membuktikan bahawa retorik “muafakat” dalam PN sebenarnya semakin retak dari dalam,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, tambah A. Rahim, mungkin juga sudah sampai masanya akar umbi Pas mula bertanya soalan yang selama ini dipendam iaitu sampai bila jentera Pas hanya dikerah bekerja, memasang bendera, memenuhi ceramah dan mempertahankan calon parti lain, tetapi akhirnya kerusi kuat mereka terpaksa mengalah dan dilepaskan.

“Semua orang tahu siapa yang bekerja paling awal di lapangan.

“Semua orang tahu siapa yang mempunyai jentera paling tersusun. Tetapi dalam PN, yang kuat bekerja belum tentu dihargai. Yang kalah pula masih mahu dianggap “ketua perang” kawasan.

“Inilah realiti sebenar PN hari ini, bercakap soal rakyat di pentas ceramah, tetapi di belakang tabir sibuk bergaduh soal kerusi dan kuasa,” katanya.

Tambah beliau, ketika rakyat sedang berdepan tekanan global, kos sara hidup, peluang pekerjaan dan ketidaktentuan ekonomi, pembangkang pula sibuk menentukan siapa lebih layak menjadi calon walaupun rekod pilihan raya sudah pun memberikan jawapannya.

Tambahnya, Kerajaan Negeri Selangor bersama Kerajaan Perpaduan akan terus fokus bekerja dan membawa kestabilan politik demi kepentingan rakyat, tanpa perlu melayan drama perebutan kerusi yang semakin memalukan dalam kalangan pembangkang sendiri.

Sebelum ini, media melaporkan Pemuda Pas Gombak menuntut calon parti itu diberi peluang bertanding kerusi Parlimen dan semua DUN di bawahnya pada pilihan raya akan datang.

Ketua Penerangannya, Suffi Kamari dilaporkan berkata, tuntutan itu berdasarkan realiti politik semasa dan kekuatan jentera peringkat akar umbi yang dilihat mampu menjadi formula baharu untuk merampas semula kerusi berkenaan.

Katanya, kekalahan Mohamed Azmin yang juga Pengerusi PN Selangor di Gombak pada PRU-15 menunjukkan pendekatan lama meletakkan calon bukan daripada Pas di kawasan berkenaan perlu dinilai semula.

Bagaimanapun, Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ab Halim Tamuri berkata, Pas menghormati desakan itu, namun soal agihan kerusi dan jumlah kawasan akan ditandingi pada PRU-16 belum dimuktamadkan kerana keputusan akhir di tangan pimpinan pusat. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast