Foto: Kesultanan Pahang

KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar Al-Haj menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam insiden di pelantar minyak platform Sepat di perairan Terengganu-Kelantan, semalam.

Baginda berdua menzahirkan rasa dukacita dan amat bersimpati atas tragedi berkenaan yang turut mengorbankan dua anak Pahang iaitu Allahyarham Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustamam, 28, dari Kuantan dan Allahyarham Nik Muhammad Hafifi Asri Ab Majid, 38, dari Bandar Indera Mahkota.

Dalam kejadian itu, tiga mangsa maut manakala seorang parah selepas bot penyelamat yang dinaiki mereka terjatuh ke laut ketika menjalankan kerja penyelenggaraan di platform berkenaan.

“Baginda berdua turut mendoakan agar roh kesemua mangsa dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa serta ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh,” titah baginda berdua menerusi kenyataan hari ini.

Selain itu, Seri Paduka Baginda berdua turut berharap agar seluruh ahli keluarga mangsa diberikan ketabahan, kekuatan dan dipermudahkan segala urusan dalam menghadapi saat yang amat sukar dan menyedihkan ini.

Sebelum ini, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail turut merakamkan ucapan takziah kepada mangsa tragedi di laman Facebook rasminya.

Dua jenazah mangsa kejadian itu yang berasal dari negeri ini akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Setali di sini selepas solat Asar hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast