Sangetha Jayakumar

KUALA LUMPUR – Wanita PKR Pusat mengambil alih, menyelia dan menguruskan segala urusan pentadbiran Wanita Cabang Shah Alam bermula serta-merta susulan kegagalan melaksanakan Mesyuarat Agung Tahunan Wanita Cabang (MATWC) dalam tempoh yang ditetapkan.

Setiausaha Wanita PKR, Sangetha Jayakumar berkata, tindakan itu diambil selaras dengan Peraturan Tetap Wanita Keadilan
bagi memastikan kebajikan serta aktiviti ahli-ahli di peringkat Shah Alam tidak terjejas.

“Langkah intervensi pentadbiran ini adalah tindakan rutin demi membetulkan kelewatan tadbir urus dan memperkukuh struktur parti,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua ahli akar umbi di Shah Alam kekal tenang dan bersatu hati.

“Wanita Keadilan kekal utuh, teratur, dan komited sepenuhnya untuk memacu sayap ini ke hadapan tanpa sebarang gangguan,” tambahnya.

Sangetha berkata, Wanita PKR sentiasa bergerak berlandaskan prinsip akauntabiliti, disiplin dan peraturan.

Dalam masa sama, beliau memberi jaminan kepada semua ahli parti bahawa keadaan adalah terkawal sepenuhnya dan pimpinan sayap kekal fokus kepada tanggungjawab tadbir urus parti.

Media sebelum ini melaporkan, seramai 21 Ahli Jawatankuasa (AJK) Cabang PKR Shah Alam bersama sebahagian besar pimpinan wanita cabang itu mengumumkan peletakan jawatan serta pengunduran mereka daripada parti berkuat kuasa serta-merta.

Menurut kenyataan rasmi, keputusan itu dibuat selepas para ahli hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan parti dan Ketua Cabang, Mohd Najwan Halimi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast