KAJANG – Kementerian Pengangkutan (MOT) mengalu-alukan pelancaran Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) bagi Pemeriksaan Tukar Hak Milik Persendirian (M.V.15) oleh Carro Technology Sdn. Bhd. yang akan mula beroperasi secara serentak di lapan cawangan seluruh negara bermula 16 Jun ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pelancaran itu susulan pengumuman kerajaan pada 16 Julai tahun lalu berhubung pelantikan syarikat-syarikat baharu untuk melaksanakan perkhidmatan Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) khusus bagi pemeriksaan tukar hak milik persendirian selain daripada PUSPAKOM.
Menurut beliau, inisiatif tersebut juga selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Mac 2023 yang bersetuju membuka perkhidmatan pemeriksaan kenderaan motor di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) kepada syarikat lain yang berkelayakan.
“Sebanyak lapan pusat pemeriksaan Carro akan mula beroperasi serentak pada 16 Jun ini melibatkan lokasi di Glenmarie, Klang dan Kajang di Selangor, Wangsa Melawati di Kuala Lumpur, Bayan Lepas di Pulau Pinang, Melaka, Muar serta Johor Bahru di Johor,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Pusat Pemeriksaan Carro Technology Sdn. Bhd. di sini, hari ini.
Beliau berkata, operasi PPKM M.V.15 oleh Carro Technology Sdn. Bhd. tertakluk kepada syarat dan piawaian ketat yang ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), termasuk penyediaan infrastruktur dan peralatan pemeriksaan lengkap serta integrasi sistem operasi dengan MySIKAP.
Katanya, syarikat itu juga perlu mendapatkan kelulusan pihak berkuasa berkaitan selain memastikan Pemeriksa Kenderaan Motor menjalani program pentauliahan ditetapkan JPJ sebelum dibenarkan beroperasi.
“Carro turut diwajibkan menyediakan ruangan atau lorong pemeriksaan khas serta kakitangan berasingan bagi tujuan pemeriksaan tukar hak milik selaras dengan standard ISO/IEC 17020:2012,” jelasnya.
Dalam pada itu, Anthony Loke berkata, beberapa syarikat lain turut berada dalam proses pembangunan cawangan PPKM M.V.15 termasuk Carsome Academy Sdn. Bhd. di Sungai Buloh, Car Medic Sdn. Bhd. di Kajang dan Serdang serta Beriman Gold Sdn. Bhd. di Kuching, Miri, Sibu dan Bintulu, Sarawak.
Menurut beliau, pembukaan pusat pemeriksaan baharu itu membuktikan komitmen kerajaan dalam memperluaskan akses rakyat kepada perkhidmatan pemeriksaan kenderaan yang lebih cekap dan berkualiti selain membantu mengurangkan kesesakan sedia ada.
“MOT dan JPJ akan terus memastikan semua pengendali PPKM mematuhi standard keselamatan, keperluan teknikal dan tahap integriti yang telah ditetapkan demi kepentingan serta keselamatan pengguna jalan raya.
“Kami yakin langkah memperluaskan pusat pemeriksaan kenderaan ini akan menyokong usaha Kerajaan MADANI dalam memperkukuh mutu penyampaian perkhidmatan awam serta meningkatkan tahap keselamatan jalan raya negara,” katanya. – MalaysiaGazette
















