KUANTAN— Sebuah dewan perhimpunan di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuantan di Jalan Tok Sira, Kampung Alor Akar di sini, musnah dalam kebakaran tengah hari tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pahang Datuk Mohd Razam Taja Rahim memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.07 petang sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan digerakkan ke lokasi.

Sebahagian struktur bangunan dewan yang musnah akhibat kebakaran pada tengah hari tadi

Menurutnya, pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 1.21 petang dengan operasi pemadaman diketuai oleh Mohd Kamarul Azman Hassan.

“Kebakaran melibatkan bahagian bumbung dewan perhimpunan berkeluasan kira-kira 80 kaki x 60 kaki dengan anggaran kemusnahan sebanyak 100 peratus pada struktur bumbung bangunan tersebut.

“Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terlibat memandangkan semua pelajar MRSM sedang bercuti ketika kejadian berlaku,“ katanya menerusi kenyataan hari ini.

Operasi pemadaman turut dibantu oleh BBP Indera Mahkota melibatkan sebuah Fire Rescue Tender (FRT), sebuah Water Tanker serta lapan anggota tambahan.

Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 1.56 petang.

Secara keseluruhan, operasi melibatkan lima pegawai kanan dan 21 anggota bomba dengan kekuatan logistik terdiri daripada sebuah jentera sitrak, sebuah CFRT, sebuah water tanker, sebuah Triton, sebuah FRT bantuan.

Bahagian Forensik Kebakaran JBPM masih menyiasat punca dan jumlah kerugian susulan insiden kebakakaran membabitkan dewan di MRSM

Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan Bahagian Forensik Kebakaran JBPM.

Manakala jam 5 petang tadi tinjauan MalaysiaGazette mendapati pihak bomba masih dalam tugasan susulan insiden kebakaran berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast