KUALA LUMPUR – Menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha esok, stesen radio berbahasa Cina milik Radio Televisyen Malaysia (RTM), AiFM bakal menyiarkan sebuah drama radio khas bertajuk ‘Korban Ego’.
Dijadual ke udara pada jam 12.10 tengah hari, drama itu membawa kelainan tersendiri apabila mengangkat tema pengorbanan perasaan dan jiwa yang jarang dikupas secara mendalam dalam naskhah pada musim perayaan.
Penerbit drama khas itu, Syafiq Liow berkata, naskhah tersebut dihasilkan kerana terdapat perkara yang jauh lebih sukar untuk dikorbankan oleh seorang.
“Ia lebih sukar berbanding sekadar melaksanakan ibadah korban haiwan ternakan secara fizikal.
“Ini kerana kadangkala, perkara yang paling sukar untuk dilepaskan bukanlah apa yang berada di tangan, tetapi apa yang terbuku di dalam hati,” katanya.
Korban Ego menggambarkan konflik emosi dan keegoan manusia yang sering menjadi tembok penghalang kepada keharmonian.
Naskhah penuh pengajaran itu menampilkan barisan pelakon hebat tempatan antaranya Kamal Chai, Nurelaine Aisyah Chua, Rasyidah Abu Johan dan Justin Ching.
“Lebih menarik, Korban Ego adalah hasil tulisan bersama seniman tanah air, Sabri Yunus dan isterinya, Ardini Angeline Tan.
“Gandingan Sabri Yunus dan Ardini Angeline Tan dalam penulisan skrip ini dijangka memberi impak besar memandangkan kedua-dua personaliti ini cukup dikenali dengan karya-karya yang sarat dengan mesej kemasyarakatan, kebudayaan serta nilai-nilai murni yang merentas kaum,” katanya.
Jangan lupa hayati inti pati sebenar erti pengorbanan bersempena 10 Zulhijah 1447H ini secara eksklusif di saluran AiFM atau menerusi aplikasi RTMKLIK dan MYTV (Saluran 704). – MalaysiaGazette
















