Suspek yang ditahan selepas disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah - Foto IPD Mukah

MUKAH – Seorang lelaki warga asing ditahan selepas disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah dalam serbuan di sebuah pondok di Jalan Mukah-Selangau berhampiran laluan jejambat Selangau semalam.

Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintenden Muhamad Rizal Alias berkata, serbuan kira-kira pukul 10.30 pagi itu dijalankan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Mukah hasil risikan.

Menurut beliau, suspek berusia 22 tahun cuba melarikan diri sebaik sahaja menyedari kehadiran polis namun berjaya ditahan di bahagian belakang pondok berkenaan.

“Semasa proses tangkapan, kekerasan minimum terpaksa digunakan selepas suspek bertindak agresif.

“Pemeriksaan di lokasi menemukan 22 keratan tiub straw lutsinar dan 25 paket plastik lutsinar mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine atau syabu yang disimpan dalam sebuah beg silang hitam,” katanya dalam satu kenyataan.

22 keratan tiub straw lutsinar dan 25 paket plastik lutsinar mengandungi ketulan kristal disyaki dadah yang telah dirampas oleh pihak polis. – Foto IPD Mukah

Beliau berkata, jumlah rampasan dianggarkan seberat 63.46 gram dengan nilai kira-kira RM3,200.

Katanya, ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Polis turut membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana suspek tidak mempunyai dokumen perjalanan sah,” katanya.

Menurut beliau, suspek yang bekerja sebagai buruh ladang sawit direman tujuh hari sehingga 2 Jun ini bagi membantu siasatan lanjut. – MalaysiaGazette



IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast