Rancangan Keluar Sekejap yang dikendalikan secara bersama oleh Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan

JOHOR BAHRU – Bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan mendakwa digantung keahliannya pada 2023 selepas menggesa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berundur selepas Barisan Nasional (BN) kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Shahril yang pernah menjadi Naib Ketua Pemuda UMNO berkata, beliau merupakan individu kedua dalam parti yang membuat gesaan tersebut selepas Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

“Awak yang pertama menyatakannya. Saya hanya yang kedua, tetapi saya pula yang digantung,” kata Shahril dalam episod ke-200 podcast politik Keluar Sekejap.

Pengakuan terbuka itu muncul selepas Shahril selaku pengacara, membangkitkan hakikat bahawa Onn Hafiz adalah pemimpin UMNO pertama yang secara terbuka menggesa Ahmad Zahid meletakkan jawatan selepas PRU15, namun tidak dikenakan tindakan disiplin, sedangkan Shahril sendiri digantung kerana kenyataan serupa.

Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap jawapan Onn Hafiz yang mendedahkan bahawa nasihat daripada institusi diraja Johor yang mendorong beliau memohon maaf secara peribadi kepada Ahmad Zahid.

Onn Hafiz yang juga Pengerusi BN Johor berkata, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail menasihati beliau secara peribadi bahawa kenyataannya itu keterlaluan dan langkah terbaik adalah untuk memperbaiki keadaan.

“Mereka beritahu saya tidak mengapa untuk memohon maaf dan pergi berjumpa Presiden saya. Kita ada sebuah negeri untuk ditadbir,” katanya.

Onn Hafiz berkata, beliau kemudiannya menemui Ahmad Zahid dan memohon maaf tanpa sebarang syarat.

“Saya memohon maaf sekiranya kenyataan saya menyinggung perasaan beliau. Alhamdulillah, saya rasa beliau memaafkan saya.

“Dari segi hubungan parti dan urusan pentadbiran, perkara itu kini dianggap selesai,” katanya.

Shahril melalui program audio siar ‘Keluar Sekejap’ yang disiarkan pada 7 Mei lalu memaklumkan belum tiba masanya untuk beliau kembali kepada parti itu.

Menurutnya, Walaupun  menghargai peluang yang diberikan Ahmad Zahid, buat masa ini beliau selesa berada di luar politik.

BN hanya memenangi 30 kerusi pada PRU-15, sekali gus mencetuskan desakan dalam parti supaya Ahmad Zahid mencontohi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang melepaskan jawatan sebagai Pengerusi BN selepas kekalahan pada PRU-14.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast