KAJANG – Kerajaan menetapkan harga maksimum tiket penerbangan RM499 bagi laluan ke Sabah dan Sarawak dalam tempoh tiga hari sebelum sambutan Hari Gawai susulan peningkatan mendadak harga tiket yang dilaporkan mencecah sehingga RM1,200 bagi perjalanan sehala.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, langkah itu dilaksanakan melalui subsidi kerajaan kepada syarikat penerbangan bagi mengurangkan beban rakyat ketika musim perayaan.
Menurut beliau, situasi tahun ini turut menyaksikan sambutan Gawai bertindih dengan musim perayaan lain menyebabkan permintaan terhadap penerbangan meningkat secara mendadak.
“Memang ada laporan harga tiket penerbangan naik sehingga RM1,200 sehala kerana bertindih dengan musim perayaan. Sebab itu kerajaan menetapkan harga maksimum RM499 bagi penerbangan ke Sabah dan Sarawak dalam tempoh tiga hari sebelum Gawai,” katanya pada sidang media pelancaran Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) bagi MV15 oleh Carro Technology di cawangan TTDI Grove Square 2 di sini, hari ini.
Anthony Loke berkata, kawalan harga tersebut hanya melibatkan perjalanan pergi ke Sabah dan Sarawak kerana tempoh pulang penumpang adalah berbeza dan tidak tertumpu pada satu tempoh tertentu.
Katanya, subsidi itu ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan dan bukannya syarikat penerbangan.
“Sebagai contoh, jika harga sebenar tiket mencecah RM1,000 tetapi harga maksimum ditetapkan RM499, maka kerajaan perlu menanggung baki RM501 kepada syarikat penerbangan,” jelasnya.
Tambah beliau, peningkatan kos operasi termasuk harga bahan api jet turut memberi kesan kepada tambang penerbangan semasa musim puncak.
Justeru, katanya, peruntukan subsidi di bawah kerajaan perlu ditambah bagi memastikan rakyat masih dapat menikmati tambang penerbangan pada kadar munasabah ketika musim perayaan. – MalaysiaGazette
















