Toyota Vellfire yang dikenakan tindakan saman dan sita. - Foto Bahagian Penguatkuasa JPJ Negeri Kedah

ALOR SETAR – Cubaan seorang pemandu Toyota Alphard menyembunyikan kenderaannya di tepi sebuah bangunan gagal apabila berjaya dikesan anggota penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Alor Setar dalam operasi di Lebuhraya Sultanah Bahiyah.

JPJ Negeri Kedah dalam satu kenyataan di Facebook berkata, hasil semakan mendapati kenderaan pelbagai guna (MPV) itu mempunyai lebih 20 saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) tertunggak dengan jumlah melebihi RM6,000.

Selain itu, kenderaan berkenaan turut didapati tidak mempunyai cukai jalan serta perlindungan insurans yang sah.

Menurut pemandu, saman berkenaan didakwa “baru muncul” pada tahun ini, namun alasan tersebut tidak menghalang tindakan penguatkuasaan diambil terhadapnya.

Kenderaan berkenaan kemudian dikenakan tindakan saman dan sita di lokasi kejadian.

JPJ menegaskan cubaan melarikan diri atau menyembunyikan kenderaan tidak akan menghalang tindakan terhadap pemilik yang gagal mematuhi undang-undang jalan raya. – MalaysiaGazette



IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast