Albert Tei Jiann Cheing.

KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan, Albert Tei Jiann Cheing mengalu-alukan tindakan undang-undang yang dikatakan mahu diambil oleh bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki susulan dakwaan beliau terhadap kejadian ugutan yang didakwa berlaku sebelum ini.

Menurut Albert Tei, beliau bersedia berdepan tindakan tersebut dan mendakwa akan mendedahkan semua bukti serta nama saksi berkaitan sekiranya menerima surat tuntutan daripada peguam Azam.

“Merujuk kenyataan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki yang mendakwa ‘pertimbang tindakan undang-undang terhadap saya atas dakwaan tidak berasas’, saya mengalu-alukan tindakan undang-undang yang dikatakan oleh beliau.

“Sebaik sahaja saya terima surat tuntutan peguam daripada beliau, saya akan mendedahkan semua bukti dan nama saksi yang menyokong dakwaan kejadian ugutan tersebut melalui saluran media dan portal berita,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Dalam pada itu, Albert Tei turut menyindir situasi berkenaan dengan menggunakan peribahasa ‘Pencuri Yang Menjerit Pencuri’ yang menurutnya tepat menggambarkan keadaan semasa.

Terdahulu, media melaporkan, Azam dipetik sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap ahli perniagaan berkenaan berhubung dakwaan yang disifatkannya sebagai tidak berasas.

Azam berkata, beliau akan berbincang dengan peguamnya sebelum memutuskan tindakan lanjut.

“Dakwaan yang dibuat terhadap saya adalah sama sekali tidak berasas dan telah mencemarkan reputasi saya.

“Saya sedang mempertimbangkan untuk menyamannya dan akan berbincang dengan peguam saya terlebih dahulu,” katanya.

Azam turut berkata, beliau telah berhubung dengan pihak polis dan akan memberikan keterangannya kepada penyiasat.

Albert Tei baru-baru ini membuat beberapa dakwaan terhadap Azam berkaitan pertikaian dan siasatan yang sedang berjalan.

Antara lain, beliau mendakwa telah diugut, dihalang dan menjadi mangsa ketika cuba mendedahkan skandal rasuah yang didakwa melibatkan beberapa ahli politik di Sabah.

Polis kini sedang menyiasat laporan yang dibuat oleh Albert Tei pada 13 Mei lalu berhubung dakwaan ugutan jenayah melibatkan peguam Azam.

Semalam, pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk M. Kumar mengesahkan keterangan telah diambil daripada Albert Tei dan peguam terbabit.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan berkaitan ugutan jenayah. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast