Tangkap layar insiden kemalangan melibatkan kereta jenis BMW dan motosikal Ahad lalu.

KUALA LUMPUR – Seorang pesara tentera maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta mewah BMW di Jalan Kampung Pandan menghala ke Desa Pandan di sini, Ahad lalu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu membabitkan sebuah motosikal Yamaha 135LC dan sebuah motokar BMW.

Menurutnya, siasatan awal mendapati penunggang motosikal lelaki tempatan berusia 45 tahun itu dipercayai sedang bergerak lurus di lorong kiri sebelum melanggar bahagian sisi kanan BMW yang keluar dari simpang sebelah kiri jalan.

“Akibat kemalangan itu, mangsa yang juga seorang pesara tentera mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan sebelum dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Bahagian Kecemasan hospital berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pemandu BMW berusia 44 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala penumpang lain di dalam kenderaan itu turut selamat.

Katanya, hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis berhampiran mendapati pemandu kereta itu datang ke lokasi berkenaan untuk mengambil rakannya sebelum keluar menuju ke Damansara.

“Pemandu motokar terbabit ditahan pada 26 Mei lalu dan hasil ujian Evidential Breath Analyzer (EBA) serta saringan air kencing mendapati lelaki berkenaan negatif alkohol dan dadah,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sebelum ini, tular beberapa rakaman video di media sosial memaparkan kemalangan berkenaan sehingga mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast