KUALA LUMPUR – Tangkapan individu berkait rasuah dan salah guna kuasa melibatkan kira-kira RM1.6 juta tidak melibat mana-mana Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), pegawai atau agensi di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Johor.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan, individu yang ditahan merupakan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Lot Tapak Perumahan Generasi ke-2 di Tanah Rancangan di Tenggaroh 2, Johor.
“Sehubungan itu, SPRM meminta semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak tepat khususnya membabitkan mana-mana individu atau pegawai kerajaan negeri berkenaan,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, SPRM komited untuk menjalankan siasatan secara profesional, bebas dan telus serta tidak akan berkompromi terhadap sebarang perlakuan rasuah atau salah guna kuasa.
Terdahulu MalaysiaGazette melaporkan, seorang pengerusi jawatan kuasa perumahan sebuah badan berkanun Persekutuan di Johor telah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disyaki terlibat meminta dan menerima rasuah kira-kira RM1.6 juta.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu didapati menyalahgunakan kuasa dengan memperdaya pemohon tanah kerajaan dalam urusan permohonan lot tapak perumahan dan ditahan sekitar jam 7.30 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Johor.
Tambah sumber, siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan kesemua perbuatan itu antara tahun 2016 hingga 2025 dan dipercayai telah menyalahgunakan kuasa dengan meminta wang kira-kira RM4,000 setiap seorang daripada 400 pemohon lot tapak rumah.
Ia membabitkan jumlah keseluruhan kira-kira RM1.6 juta sebelum menyeleweng wang tersebut untuk kegunaan sendiri melalui pengeluaran daripada akaun bank jawatankuasa terbabit menggunakan invois palsu.
Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Hairuzam Mohmad Amin@Hamim berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a) (A), Sesyen 18 dan Sesyen 23 Akta SPRM 2009 dan suspek akan dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangannya direkodkan. – MalaysiaGazette
SPRM tahan pengerusi jawatankuasa perumahan, disyaki terlibat rasuah RM1.6 juta















