Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Radzi Jidin

KUALA LUMPUR – Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Radzi Jidin mendakwa wujud pihak tertentu yang sedang memainkan fitnah jahat kononnya parti itu bakal kembali bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

Malah beliau memberi bayangan mengenali individu di sebalik penyebaran fitnah tersebut walaupun mendakwa mereka berselindung di sebalik identiti tertentu.

“Fitnah jahat sedang tersebar kononnya Bersatu akan kembali bersama PH.

“Sedang kita sibuk dengan ibadah korban, mereka sibuk dengan fitnah. Saya tahu siapa pemfitnah ini walaupun mereka bertopeng,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Kenyataan Radzi itu hadir ketika spekulasi mengenai hubungan Bersatu dengan PH kembali hangat diperkatakan susulan kemelut dalaman parti serta gerakan ‘Reset’ yang dikaitkan dengan bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Terdahulu, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz turut tampil menafikan dakwaan berhubung kemungkinan parti itu kembali bekerjasama dengan PH.

“Tidak benar. Tidak pernah dibincangkan dalam Biro Politik, MPT atau mana-mana perbincangan tidak rasmi di dalam parti. Setakat ini tidak ada bunyi-bunyi ke arah itu. Tidak masuk akal,” katanya.

Tun Faisal turut menegaskan, jika benar wujud gerakan ke arah kerjasama dengan PH, sudah pasti terdapat tanda-tanda awal atau operasi tertentu dalam kalangan pimpinan parti.

Sebelum ini, timbul pelbagai desas-desus mendakwa parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu sedang mempertimbangkan penjajaran politik baharu susulan ketegangan hubungan dengan Pas serta gelombang perpecahan dalaman yang melanda parti itu sejak kebelakangan ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast