KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menafikan dakwaan kononnya parti itu sedang merancang untuk kembali bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
Menurut beliau, perkara itu tidak pernah dibincangkan dalam mana-mana mesyuarat rasmi mahupun tidak rasmi parti termasuk di peringkat Biro Politik dan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).
Tun Faisal berkata, dakwaan kononnya usaha itu digerakkan oleh Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali juga disifatkan sebagai tidak berasas.
Ia berikutan spekulasi pertemuan antara Azmin dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Tidak benar. Tidak pernah dibincangkan dalam Biro Politik, MPT atau mana-mana perbincangan tidak rasmi di dalam parti. Jika ada sebarang usaha ke arah itu, sudah tentu ada tanda atau bayangan gerakan atau operasi ke arah itu.
“Misalnya seperti yang terjadi kepada gerakan SD (akuan bersumpah) oleh pengikut Datuk Seri Hamzah Zainudin,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata, setakat ini, tiada sebarang petunjuk menunjukkan parti yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin itu mahu mengikut jejak UMNO untuk bekerjasama dengan PH.
“Setakat ini tidak ada bunyi-bunyi ke arah itu. Tidak masuk akal,” katanya lagi.
Terdahulu, timbul desas-desus mendakwa Bersatu bakal kembali menyertai PH susulan hubungan parti itu dengan Pas dikatakan semakin tegang sejak kebelakangan ini.
Malah, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook sebelum ini turut mengingatkan PH supaya berhati-hati untuk kembali bekerjasama dengan Bersatu dan Pas kerana pengalaman lalu yang dianggap pahit.
Bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin sebelum ini melontarkan pertanyaan dengan meminta penjelasan mengenai siri pertemuan sulit Azmin dengan Anwar.
Malah, perkara sama turut dipersoal bekas Timbalan Presidenv PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli menerusi podcast dengan menyebut: “Dan mungkin kena tanya Datuk Seri Anwar Ibrahim juga sebab dia yang selalu jumpa Azmin sekarang kan. Dia ada plot twist yang lain.”
Namun, dakwaan tersebut tidak dijawab Azmin sehingga hari ini. – MalaysiaGazette
















