PETALING JAYA – Cadangan pembinaan Hospital Awam Petaling Jaya di kawasan Dewan Negeri Taman Medan disifatkan sebagai langkah penting dalam memperkukuh kemudahan kesihatan awam untuk rakyat.
Penyelarasnya, Halimey Abu Bakar berkata, ia perkembangan positif khususnya kepada penduduk setempat yang sekian lama memerlukan akses rawatan kesihatan awam lebih menyeluruh dan berkualiti.
“Cadangan pembinaan hospital awam ini merupakan satu berita yang amat positif dan penting buat penduduk Petaling Jaya.
“Kawasan sekitar sememangnya memerlukan akses kesihatan awam yang lebih moden, menyeluruh dan berkualiti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari mengesahkan Hospital Petaling Jaya bakal dibina dengan konsep vertikal dan mampu menampung kapasiti 500 katil.
Amirudin berkata, konsep vertikal sama sebelum ini sudah dilaksanakan di Hospital Ampang tanpa perlu bergantung kepada tanah yang terlalu luas dan mengoptimumkan kos bagi Kementerian Kesihatan (KKM).
Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, sebuah kompleks sukan moden di tapak seluas enam hektar, X Park PJ South di Taman Medan dikenal pasti sebagai tapak pembinaan hospital awam bagi keperluan penduduk Petaling Jaya, Subang dan Puchong.
Halimey turut menyambut baik komitmen Menteri Besar untuk memainkan peranan sebagai pemudah cara dalam mempercepatkan urusan berkaitan tanah bagi memastikan projek berkenaan dapat direalisasikan dengan lancar.
“Kerjasama dua pihak ini amat penting supaya rakyat dapat menikmati kemudahan kesihatan yang lebih baik dalam tempoh yang lebih cepat,” katanya.
Tambah beliau, pembinaan Hospital Awam Petaling Jaya dijangka dapat mengurangkan kesesakan di hospital sedia ada selain meningkatkan tahap perkhidmatan kesihatan awam di Petaling Jaya dan kawasan berhampiran.
“Saya berharap segala urusan berkaitan tapak dan proses pembangunan hospital tersebut dapat dipermudahkan demi kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya.
“Semoga segala urusan berkaitan tapak dan proses pembangunan hospital ini dipermudahkan demi kesejahteraan rakyat,” katanya lagi.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
















