KUANTAN – Pengamal media di negeri Pahang menerima sumbangan seekor lembu daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Hari Raya Aidiladha tahun ini.
Sumbangan buat julung kalinya itu diterima menerusi Pahang Press yang bergotong-royong bersama kira-kira 40 orang Skuad Korban Tok Peramu dalam proses menyembelih dan melapah daging di Kampung Anak Air di sini hari ini.
Menurut Pengerusi Pahang Press, Fazli Ahmad, selain agihan daging disalurkan kepada para jurugambar dan wartawan media cetak, media elektronik serta dalam talian, agihan turut dibuat kepada komuniti kampung terbabit.

“Ini satu kelainan berbanding lembu untuk ibadah korban kerana ia sebagai ingatan Perdana Menteri kepada kami selaku antara barisan hadapan serta pengantara bagi pihak kerajaan dan masyarakat dalam penyampaian maklumat,” katanya di sini hari ini.
Jelas Fazli, menerusi sumbangan ini juga dapat memperkukuh semangat kerjasama antara pengamal media di negeri ini yang bersama-sama bergotong-royong hari ini termasuk memberi pengalaman berharga kepada yang baru pertama kali melapah daging lembu sempena Aidiladha.
“Jadi, terima kasih kepada Perdana Menteri atas ingatan kepada petugas-petugas media di Pahang ini,” katanya. – MalaysiaGazette

















