KUALA LUMPUR – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kanak-kanak lelaki sembilan tahun disyaki lemas dihanyutkan arus sungai di Kampung Sungai Nilam, Gedangsa diperluas hingga tiga kilometer hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, SAR yang bermula semalam disambung hari ini turut menggunakan khidmat Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dan Anjing Pengesan (K9).
“Pasukan bertugas membuat pencarian di permukaan sungai dalam radius tiga kilometer dari lokasi Pos Kawalan Bomba (PKB) dengan dibantu agensi lain termasuk Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River,” katanya menerusi kenyataan.
Menurutnya, SAR yang dijalankan semalam melakukan pencarian dalam radius 1.6 km.
Tambahnya, pasukan PPDA juga digerakkan untuk melakukan selaman di kawasan yang dipercayai menjadi titik mangsa terjatuh.
Sebagai rekod, semalam Muhammad Aakif Imran Asrul Nizam dilaporkan hilang disyaki lemas di selepas bermain di tebing sungai.
Kehilangan dilaporkan pada pukul 1.45 petang, semalam.-MalaysiaGazette
















